Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (LPPR) dan empat badan bebas lain hanya berfungsi sebagai penasihat dan memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Datuk Takiyuddin Hassan berkata demikian bagi mengulas tulisan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang bertajuk 1MDB.

Dr Mahathir menulis di Blog Chedet.cc pada Rabu menyebut tentang Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai ahli salah satu badan bebas SPRM iaitu LPPR, seharusnya menjalankan siasatan penuh berhubung ‘wang yang dikatakan dicuri dari kerajaan’.

“LPPR dan empat badan bebas yang lain boleh meminta SPRM untuk menjelaskan mana-mana isu berhubung rasuah tetapi tidak ada kuasa untuk menyiasat sesuatu kes.

“LPPR dan empat badan bebas yang lain iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Panel Penilaian Operasi, Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), sebenarnya mewakili masyarakat dan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyiasat atau mengarahkan SPRM menjalankan siasatan.

“Ini kerana SPRM merupakan sebuah suruhanjaya yang bebas,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Takiyuddin lagi bahawa masyarakat perlu faham bahawa siasatan yang dilakukan oleh SPRM bukan mengikut kehendak dan keperluan ahli-ahli panel bebas SPRM, sebaliknya siasatan yang dijalankan perlu berteraskan peruntukan atau semangat Akta SPRM 2009.

“SPRM hanya boleh menyiasat jika ada unsur rasuah selaras dengan Akta SPRM 2009. Diharap orang ramai faham kedudukan ini.

“SPRM tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan sekiranya ada bukti kukuh wujudnya unsur rasuah,” jelas Takiyuddin.

Dr Mahathir di dalam blognya sebelum ini meminta Tunku Abdul Aziz mengambil peluang sebagai anggota SPRM untuk melakukan siasatan penuh sama ada beliau pernah menyalahgunakan dana persekutuan selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir juga memberi amaran, Tunku Abdul Aziz perlu meminta maaf jika tiada bukti ditemui yang melibatkan beliau menyalahgunakan dana persekutuan ketika berkhidmat sebagai perdana menteri.