Ahmad Zahid mengundi di Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat
Bernama
Mei 9, 2018 09:30 MYT
Mei 9, 2018 09:30 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 di Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat, Rungkup di sini pagi ini.
Ahmad Zahid, 65, yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan Datuk, berpakaian baju korporat berwarna merah putih, tiba di perkarangan madrasah itu pada pukul 8.01 pagi.
Beliau diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan anak sulung, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid yang akan mempertahankan kerusi itu buat penggal keenam merupakan pengundi pertama yang mengundi di pusat mengundi itu.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu yang merupakan penyandang kerusi berkenaan selama lima penggal sejak 1995 berdepan calon PKR Pakhrurrazi Arshad dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli (PAS).
Pada PRU13, Ahmad Zahid menewaskan calon PKR, Madhi Hasan dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 2,108 undi.
Sebanyak 38 pusat mengundi dengan 92 saluran dibuka di Bagan Datuk hari ini bagi proses mengundi bersempena PRU14 yang melibatkan 47,309 pengundi.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi
#Barisan Nasional
#mengundi
#Parlimen Bagan Datuk
#PAS
#pilihan raya umum
#PKR
#PRU14