Kepesatan era Revolusi Industri 4.0 dan teknologi menjadikan pasaran tenaga kerja semakin berdaya saing.

Usahawan yang berminat untuk menubuhkan syarikat startup, perlu berani mengambil peluang dan sentiasa bersedia meningkatkan prestasi mereka supaya tidak ketinggalan dengan setiap perubahan.

Dalam usaha memartabatkan lagi usahawan startup tempatan, syarikat pembangun usaha sama teknologi, Commerce DotAsia Ventures Sdn Bhd melancarkan Akademi GrowthX dan GrowthX Accelerator di Malaysia hari ini.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Ganesh Kumar Bangah, berkata program latihan intensif Akademi GrowthX dan GrowthX Accelerator adalah untuk membimbing usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan untuk mempunyai kemahiran 'go-to-market'.

"Ini adalah kali pertama GrowthX melancarkan pusat pendidikan di luar Amerika Syarikat. Petempatan akademi ini di Kuala Lumpur juga membuatkan ia lebih unik," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Akademi GrowthX di sini, hari ini.


Tambahnya, Commerce.Asia telah melaburkan RM10 juta dalam program latihan yang dibawa dari hab industri teknologi tertinggi dunia, Silicon Valley di California.

Dalam pada itu, Naib Presiden Program Gain Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Gopi Ganesalingam, berkata inisiatif ini mampu membantu usahawan startup Malaysia melonjakkan perniagaan mereka sekaligus meletakkan negara sebagai hab ekonomi digital di rantau ASEAN.

"Dari perspektif kerajaan, kami amat menggalakkan kerjasama ini kerana jika anda melihat Malaysia dalam konteks ASEAN, kita yang pertama mempunyai akademi seperti ini. Dengan kemudahan sebegini, Malaysia boleh memecahkan halangan pemasaran dan merentasi sempadan dengan teknologi dengan mudah," katanya.

Majlis hari ini turut menyaksikan pemeteraian antara Commerce.Asia dengan University of Technology and Innovation (APU) di mana program latihan GrowthX ini akan dilaksanakan ke dalam modul kurikulum pelajar di APU.