Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka melanda perairan Condore, Reef North, Layang-Layang, barat laut Palawan, timur laut Tioman, utara Bunguran dan barat laut Reef South pada Sabtu ini sehingga Rabu, 20 Dis.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia pada Khamis, angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

Sementara itu, amaran angin kencang Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 km/j dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, tenggara Reef North, Labuan dan tenggara Palawan pada Sabtu hingga Rabu depan.

Situasi sama turut dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (pedalaman, pantai barat dan Kudat) dan Labuan pada tempoh sama yang turut membahayakan bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka bermula pada Ahad sehingga Selasa,19 Dis.

Dalam pada itu, ribut petir di perairan Sulu, dan Sandakan, Sabah dijangka berterusan sehingga malam ini.

Menurut kenyataan tersebut keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

-- BERNAMA