Anak perempuan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa mendakwa bahawa akaun banknya telah dibekukan selepas dia membayar jaminan bapanya pada Rabu.

Nooryana menulis pada kumpulan Facebook ‘Malaysians for Civil Liberty’ pada Khamis dengan mengatakan bahawa banknya menerima arahan untuk membekukan bukan sahaja akaun banknya, tetapi juga akaun bank anaknya.

"Sebaik sahaja setelah saya membayar jaminan untuk bapa saya semalam dengan wang yang dikumpulkan dari rakan dan saudara-mara, bank memberitahu mereka menerima arahan untuk membekukan akaun peribadi saya yang digunakan untuk membayar yuran sekolah saya," tulisnya.

Nooryana juga mendakwa bahawa akaun bank anaknya yang mempunyai jumlah wang RM100 turut dibekukan.

“Ia adalah wang raya pertama anak saya. Adakah kerajaan begitu berdendam dan berusaha untuk 'menghapuskan' seluruh keluarga saya.

"Apa kaitan duit raya anak saya dengan 1MDB, adakah ini Malaysia baru yang kita doakan?” tulisnya lagi.

Kumpulan Facebook ‘Malaysians for Civil Liberty’ diwujudkan pada pertengahan Jun lalu bertujuan bagi memastikan perbicaraan Najib diperlakukan secara adil, objektif dan tanpa prasangka.


Nooryana Najwa

Najib dihadapkan ke mahkamah pada pagi Rabu dan didakwa dengan tiga tuduhan jenayah pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhanan salah guna kuasa.

Najib bagaimanapun memohon untuk dibicarakan terhadap semua empat tuduhan yang berkaitan dengan isu SRC International.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dan Najib dibenarkan pulang selepas anggota keluarganya membayar separuh daripada jumlah itu.

Anak-anaknya, Norashman dan Nooryana, menyerahkan ikat jamin itu.