Pelajar di Jepun diajar mengenai adab dan etika sejak dari awal persekolahan. Ia dilihat sebagai satu kemahiran insaniah yang sangat penting.

Menyokong pendekatan itu, Timbalan Pengerusi Yayasan Patriot Negara Malaysia Datuk Nadzim Johan berkata, kemahiran insaniah perlu disemai dalam kalangan kanak-kanak lebih dahulu daripada kemahiran akademik.

"Jika kita hanya memberikan fokus pada bidang akademik, kita takut mereka mempunyai kegagalan dalam menangani hal yang berkaitan dengan perhubungan dan kekeluargaan," ujarnya.

Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik insaniah anak-anak sebelum mereka menerima pembelajaran di peringkat sekolah.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam program Debat AWANI yang berlangsung pada Ahad, membawa tajuk ‘Mana lebih penting? Kemahiran akademik atau kemahiran insaniah?’.

Namun, Datuk Freida Pilus, pengasas dan Mentor Kumpulan Sekolah-sekolah Cempaka, mempunyai pandangan yang berbeza.




Menurutnya, tidak semua yang diamalkan di Jepun boleh dilakukan di Malaysia kerana perbezaan budaya yang berbeza.

"Di Jepun, jam 3 petang setiap hari, semua anak-anak di sekolah akan mencuci sekolah. Kalau kita buat perkara yang sama di Malaysia, ibu bapa akan marah!

"Tetapi di Jepun itulah kemahiran yang mereka ajar dalam kehidupan dan sudah dilakukan sejak dahulu kala.

"Ini bukan 'soft-skills' tapi inilah pembudayaan yang dilakukan dengan sistem yang dilakukan secara berperingkat'," tegasnya.

BACA: Tanpa akademik, kemahiran insaniah tidak dapat dikuasai - Freida Pilus

Freida berkata, sebarang perubahan yang mahu dilakukan dalam sistem pendidikan kita haruslah berlandaskan kepada budaya tempatan.

Anjakan pemikiran dan perubahan sikap perlu dilakukan terlebih dahulu.