Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan terus bekerjasama dengan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai satu pasukan.

Beliau berkata kedua-dua mereka perlu sentiasa bertemu dan berbincang agenda parti dan menyelesaikan isu disuarakan rakyat.

"Azmin ialah timbalan saya, kami perlu bekerja sebagai satu pasukan, perlu sentiasa bermesyuarat dan berbincang kerana beliau mempunyai mandat daripada pemilihan parti yang lepas," katanya selepas majlis pemukiman PKR di sini, hari ini.

Anwar berkata demikian selepas ditanya sama ada beliau akan terus bekerjasama dengan timbalannya itu.

Mohamed Azmin dilaporkan tidak menghadiri pemukiman PKR yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Anwar berkata sebanyak 120 daripada 140 pemimpin parti, hadir pada pemukiman itu.

Kesemua pemimpin yang hadir juga menandatangani resolusi pemukiman dalam menyokong sepenuhnya kepimpinan Anwar bagi memacu dan memimpin PKR.

Ditanya mengenai sokongan 20 pemimpin yang tidak hadir, Anwar berkata mereka akan diberikan ruang membaca resolusi dan keputusan yang dibuat pada pemukiman itu.

"Bagi ruang pada mereka untuk baca dahulu, sama ada mereka bersetuju atau tidak. Saya tidak fikir ada yang pertikai semangat majoriti besar yang hadir," katanya.

Anwar berkata sebahagian mereka yang tidak hadir memberikan alasan munasabah termasuk ibu sakit tenat, berada di hospital dan di luar negara.

Dalam pada itu, Anwar berkata sesi pemukiman itu memberi ruang kepada pemimpin PKR untuk bertukar pendapat dan menyuarakan pandangan masing-masing khususnya dalam memperkukuh parti.

Antara yang dibangkitkan termasuk kepentingan parti itu untuk terus berjuang demi rakyat dan memperkemas penyebaran maklumat terutama kejayaan yang telah dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Anwar berkata hasil pemukiman itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Majlis Presiden Pakatan Harapan.

-- BERNAMA