- Mahkamah benarkan bayaran ikat jamin RM10,000 ditangguhkan sehingga Isnin
- Anwar hilang kelayakan bertanding di DUN Kajang 23 Mac ini
- Anwar umum tidak akan bertanding PRK DUN Kajang, akan terus berkempen
- Saiful bersyukur mahkamah dapati Anwar bersalah
- Rahman Dahlan harap Wan Azizah terus tabah
- Tindakan tegas kepada yang terbabit dengan perhimpunan haram, kata Ketua Polis Negara
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas didapati bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan enam tahun lepas.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.
Mahkamah membenarkan Anwar menangguhkan bayaran ikat jamin sebanyak RM10,000 sehingga jam 11 pagi, Isnin depan.
Dengan keputusan ini, mengikut Perkara 64(4) undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor, Anwar hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dijadualkan berlangsung 23 Mac nanti.
Perkara 64(4) undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor memperuntukkan syarat hilang kelayakan untuk bertanding kerusi DUN Selangor berkuat kuasa serta merta dari tarikh seseorang itu hilang kelayakan sebagai ahli DUN -- dalam hal ini, disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun.
Perkembangan kes ini berlaku empat hari sebelum penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN kajang dan Anwar juga dijadualkan menghadiri perasmian sidang Dewan Rakyat pada 10 Mac nanti.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim bersama Datuk Aziah Ali and Datuk Mohd Zawawi Salleh. Keputusan katanya adalah keputusan sebulat suara panel hakim.
Rayuan kes ini mencetuskan kontroversi sebelum ini berhubung isu pelantikan peguam Tan Sri Shafee Abdullah sebagai ketua pendakwa. Anwar mengemukakan usul untuk mengetepikan pelantikan itu namun ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Anwar didakwa meliwat Saiful pada 26 Jun 2008 di unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.10 dan 4.30 petang.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu.