Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah dinasihatkan supaya tidak menerima pelawat semasa menjalani rawatan dan pemerhatian di pusat perubatan berkenaan.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata Anwar kini menjalani rawatan susulan kekejangan di bahunya.

"Beliau sedang berehat dan berada dalam keadaan stabil.

"Datuk Seri Anwar, (isteri Anwar) Datuk Seri Dr Wan Azizah dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas doa dan sokongan yang dihulurkan pada masa ini," menurut kenyataan itu.

BACA: Sakit bahu dan belakang: Keadaan Anwar bertambah baik - TPM Wan Azizah

Kenyataan itu juga menjelaskan, Dr Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri akan tetap menghadiri semua program rasmi yang telah dijadualkan untuknya kecuali diberitahu sebaliknya.

Semalam, Anwar dikejarkan ke PPUM selepas mengadu sakit bahu sejurus kembali dari Turki.

-- BERNAMA