Laporan ini telah menimbulkan perasaan tidak senang dikalangan rakyat Malaysia khususnya, dan kerajaan telahpun mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini.
Adakah tuntutan ini sah di bawah undang-undang antarabangsa?
Sejarah
Sabah, atau nama zaman penjajahannya, Borneo Utara, pernah menjadi wilayah jajahan Kesultanan Brunei.
Pada tahun 1658, Sultan Brunei menyerahkan Sabah kepada Sultan Sulu atas jasa kerajaan tersebut membendung perang saudara yang meletus di Brunei pada ketika itu.
MESTI BACA: Tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak relevan - Najib
Sewaktu zaman keemasannya pada akhir kurun ke 17 sehingga ke 18, pengaruh Kesultanan Sulu tersebar luas meliputi wilayah moden Sabah dan selatan Filipina.
Kedatangan penjajah Barat telah menghakis pengaruh Kesultanan Sulu secara perlahan-lahan.
Apabila Filipina jatuh ke tangan penjajah Sepanyol, British telah mengambil inisiatif untuk berkuasa di Sabah.
Pihak Amerika telah menghapuskan kedaulatan politik kesultanan Sulu melalui Perjanjian Carpenter ditandatangani pada 22 Mac 1915.
Sabah dan Kesultanan Sulu
Pada 22 Januari 1878, suatu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Sulu dan dua agen British, Alfred Dent dan Baron von Overback (berkebangsaan Jerman), perjanjian yang telah menyerahkan atau ‘menyewakan selama-lamanya’ Borneo Utara kepada British, dengan pulangan pembayaran sebanyak 5, 000 dolar Malaya setahun kepada Sultan Sulu.
Pembayaran ini telah ditingkatkan kepada 5, 300 dolar Malaya apabila wilayah yang diserahkan meliputi pulau-pulau persisiran Borneo Utara dari Pulau Banggi ke Teluk Sibuku.
Setelah itu, Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU) mentadbir Sabah sehingga 1941.
Sabah seterusnya dijadikan sebahagian dari Empayar Jepun. Apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Sabah telah dijadikan koloni mahkota British sehingga kemerdekaan Sabah di dalam Malaysia pada tahun 1963.
Filipina telah memulakan tuntutan ke atas Sabah pada tahun 1963 tetapi bersetuju pada tahun 1977 untuk tidak meneruskannya.
Walaubagaimanapun, bakal Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah dilaporkan untuk meneruskan hasrat tuntutan ke atas Negeri di bawah Bayu ini berdasarkan pertalian tradisi Sabah dengan Kesultanan Sulu yang telah dihapuskan tersebut.
Tidak jelas sama ada Filipina akan meneruskan usaha tuntutan ini menerusi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau tidak.
Undang-undang Antarbangsa
Undang-undang antarbangsa menetapkan beberapa cara bagi sesebuah negara untuk mendapatkan wilayah secara sah, antaranya, menerusi penjajahan, preskripsi dan serahan.
Penjajahan merupakan kaedah pemilikan wilayah yang diiktiraf di masa lalu tetapi telahpun dianggap kini sebagai tidak sah setelah Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil tempat pada tahun 1945.
Oleh itu, kaedah pemilikan wilayah yang berkaitan secara langsung dengan Sabah adalah menerusi kaedah serahan dan preskripsi.
Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah
Sesebuah negara boleh mendapatkan kedaulatan ke atas mana-mana wilayah sekiranya kedaulatan ke atasnya ditukarkan atau diserahkan oleh sesebuah negara ke negara yang lain.
Sabah telah diserahkan kepada British oleh Kesultanan Sulu pada 1878, dan akhirnya kepada Malaysia pada tahun 1963 apabila Persekutuan Malaysia dibentuk hasil gabungan koloni-koloni British iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura bersama Negara Malaya yang berdaulat.
Di bawah undang-undang antarabangsa, preskripsi merujuk kepada pemerolehan kedaulatan menerusi pengamalan kedaulatan yang sebenar dan ianya dikekalkan untuk jangka masa yang munasabah.
Malaysia telah, sejak 1963, mentadbir Sabah tanpa sebarang bantahan berterusan oleh negara-negara anggota PBB.
Pemerolehan kedaulatan Malaysia ke atas Sabah adalah berbeza dengan apa yang berlaku di antara Indonesia dan Timor-Leste.
Indonesia telah menjajah Timor-Leste pada tahun 1975. Akibat bantahan berterusan dari masyarakat antarabangsa dan rakyat Timor-Leste sendiri, Timor-Leste (menerusi referendum kemerdekaan) telah menjadi negara yang merdeka dan berdaulat pada tahun 2002.
Sabah tidak pernah dijajah Malaysia kerana negeri tersebut, menerusi hasil dapatan Suruhanjaya Cobbold, secara sukarela bergabung di dalam Persekutuan Malaysia.
Sejak tahun 1963, Malaysia telah melaksanakan pemerintahan efektif dalam mentadbir Sabah serta memperuntukkan dana dan meransang pelaburan bagi memajukan ekonomi negeri ini dengan masyarakat antarabangsa mengakui Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.
Tuntutan Warisan/ Tuntutan Tradisi
Sabah dituntut oleh Filipina berdasarkan tuntutan warisan melalui pertalian tradisi Sabah dengan Kesultanan Sulu.
Tuntutan ini adalah sebuah tuntutan yang kurang berasas.
Pada tahun 2008, pihak ICJ di dalam pertikaian Malaysia-Singapura ke atas Pedra Branca (batuan di hujung timur Selat Singapura) telah mengiktiraf Pedra Branca bukan terra nullius (tanah tidak bertuan) dan mengakui ianya pernah menjadi milik kesultanan Johor.
MESTI BACA: Batu Puteh: 4 perkara setiap warga Malaysia perlu tahu
Akan tetapi, pihak ICJ telah menyerahkan kedaulatan ke atas Pedra Branca kepada Singapura apabila dibuktikan bahawa kerajaan British di Singapura telah memperoleh batuan ini daripada Sultan Johor sejak tahun 1953.
Sekiranya tuntutan warisan mempunyai kedudukan yang kukuh di bawah undang-undang antarabangsa, Pedra Branca sepatutnya kekal bersama Kesultanan Johor (Malaysia) dan tidak menjadi milik Singapura.
Lagipula, sekiranya konsep ini didukung teguh masyarakat dunia, Malaysia, menerusi kesultanan Johor, boleh menuntut kedaulatan ke atas Singapura dan Kepulauan Riau di Indonesia.
Malaysia juga, menerusi wilayah warisan kesultanan Kedah, berhak menuntut kedaulatan ke atas provinsi Satun dan Trang di Thailand serta Tenasserim di Myanmar.
Ini walaubagaimanapun, bukanlah cara undang-undang antarabangsa beroperasi dan secara jelas menunjukkan tuntutan warisan tidak dapat sokongan tegar dibawah perundangan antarabangsa.
Kesimpulan
Sabah pernah menjadi sebahagian dari Kesultanan Sulu.
Walaubagaimanapun, senario politik Sabah dan Filipina telah berubah sejak penjajah Sepanyol, British dan Amerika menjejakkan kaki mereka ke rantau ini.
Sabah sekarang adalah sebahagian daripada Malaysia dan sedang menuju jalan kemakmuran dengan kemajuan dan pembangunan yang berterusan.
Kemakmuran Sabah telah menjadikannya tambang emas bukan sahaja untuk rakyat Malaysia, tetapi juga pendatang asing yang menetap di negeri tersebut.
Benar, masyarakat antarabangsa telahpun setelah 53 tahun mengiktiraf penuh Sabah sebagai negeri di dalam Malaysia dan kedudukan tersebut seharusnya dilindungi dan dihormati.
Perspektif sejarah tuntutan ke atas Sabah
Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.