MENJELANG tengah hari pada setiap Jumaat, umat Islam berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat yang diwajibkan seminggu sekali kepada kaum Adam yang beragama Islam.

Dalam kesungguhan untuk mendapat tempat terbaik di dalam rumah Allah itu, mencari tempat letak kereta juga merupakan satu misi yang sukar.

Dalam keadaan 'terdesak' itulah, ada kalangan mereka memilih untuk meletakkan kenderaan dengan sesuka hati.


BUKAN 'LESEN' BESAR

Ia jelas bukan ‘lesen’ kepada umat Islam untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan secara semberono sehingga mendatangkan kesusahan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Mengulas mengenai tabiat buruk itu, Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan menegaskan bahawa meletakkan kenderaan sesuka hati untuk solat Jumaat adalah berdosa.

Ini kerana, menurut beliau, perbuatan tersebut secara jelas memberikan kesusahan dan mengganggu orang awam.

“Menyusahkan orang lain, ia jatuh hukum dosa. Maksudnya apabila seseorang itu buat ‘double parking’ dan dia telah menyusahkan urusan orang lain dan itu dosa.

“Sebab apa jatuh dosa, (kerana) ia merosakkan atau menganggu orang lain. Bayangkan Nabi (Muhammad) SAW berkata mengambil buah duri atau mengambil duri-duri di tengah jalan itu sedekah.

“Apatah lagi orang yang sengaja meletakkan (kenderaan sesuka hati di bahu jalan), lagi berdosa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Isnin.

Beliau memetik hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang berbunyi, "Barang siapa yang memudahkan orang lain, maka Allah akan memudahkan dirinya sendiri; sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyusahkannya urusannya."

Bagaimanapun, PU Rahmat berkata isu ‘lapuk’ ini yang sudah berlarutan lebih 10 tahun perlu dilihat secara menyeluruh, dan orang ramai tidak boleh menunding jari kepada si pemilik kenderaan semata-mata.


TOLERANSI AGAMA

Jelasnya, sikap prihatin sesama masyarakat tanpa mengira agama adalah tunjang utama dalam memastikan perkara ini boleh diatasi dengan baik.

Katanya, isu pokok seperti kurangnya kawasan parkir di kawasan-kawasan masjid juga perlu dikaji dan diambil serius.

“Kita sebagai manusia, atau Muslim khususnya, kena fikir mengenai orang lain kerana kita ada satu keterikatan atau tanggungjawab.

“Kita kena faham orang pun ada masalah, kalau kita menambah masalah orang lain dengan parkir semberono, ia akan menyusahkan orang lain.

“Sebab kawasan masjid tidak mempunyai keluasan parkir yang cukup, jadi benda ini kita kena sama-sama fikirkan,” katanya.

Tegasnya, jangan disebabkan perkara sedemikian, ibadat yang sepatutnya mendapat keberkatan dan ganjaran pahala daripada Allah bertukar menjadi sia-sia.

Beliau memberi contoh situasi di Australia di mana penganut Islam dan Kristian begitu bertolak ansur sehingga mereka saling berkongsi kawasan parkir apabila mahu menunaikan ibadat.