Memang tidak boleh dinafikan majlis Penerangan Perdana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dan Bajet 2016 mendapat sambutan ramai apabila penganjur menyatakan kira-kira 2,500 hadir pada majlis itu.

Majlis yang dianjurkan UMNO tersebut adalah untuk menerangkan isu berkaitan 1MDB, TPPA dan Bajet 2016 kepada rakyat.

Antara yang menjadi perhatian adalah ketika sesi jawab bersama Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Arul Kanda dilihat 'diasak' beberapa soalan panas mengenai isu syarikat pelaburan milik kementerian kewangan itu.

Seorang ahli UMNO Machang bertanyakan kenapa majlis itu tidak diadakan untuk pemimpin pembangkang dan pengkritik kerajaan, agar golongan itu dapat memahami isu tersebut daripada melontarkan tohmahan.

Pihak yang dimaksudkan itu termasuklah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, penonton yang menghadiri berkenaan sudah memahami mengenai apa yang berlaku pada 1MDB.


"Kenapa tidak ajak Tun M atau Lim Kit Siang datang majlis penerangan 1MDB?"

Arul dengan tenang menjawab soalan lelaki tersebut: "Berkenaan dengan soalan kenapa tidak dijemput orang yang tidak faham atau buat-buat tidak faham mengenai isu 1MDB, setahu saya Datuk Ahmad Maslan telah membuka jemputan kepada semua pihak.

"Beliau begitu jelas mengatakan sesiapa sahaja dijemput untuk hadir pada majlis hari ini (Sabtu). Tidak kisah daripada kerajaan atau pembangkang. Kita tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan."

Isu debat 1MDB turut menjadi tanda tanya penonton majlis berkenaan. Ada antara mereka bertanya mengapa tidak menjemput Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli atau Ahli DAP Tony Pua untuk mengadakan sahaja debat tersebut pada majlis ini.

"InsyaAllah kami akan berjumpa sesiapa sahaja yang ingin berjumpa dengan kami. Kalau Rafizi, atau Tony Pua atau kedua-duanya sekali pun boleh jumpa sekali. Tiada masalah," kata Arul Kanda penuh keyakinan.

Jawapan beliau kemudiannya menerima sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton majlis penerangan perdana itu.

Permintaan aneh

Turut menarik perhatian adalah apabila terdapat seorang wanita yang bertanyakan sama ada Arul Kanda sudi minum bersamanya.

Soalan wanita berkenaan sememangnya mengundang pelbagai reaksi daripada penonton majlis berkenaan. Reaksi Arul Kanda terhadap usikan atau permintaan aneh itu adalah seperti berikut:


Apakah jawapan Arul Kanda Kandasamy apabila dipelawa untuk minum kopi oleh seorang wanita?

Majlis ini menyaksikan semua kerusi di dalam dewan dipenuhi dan ada yang terpaksa berdiri bagi mendengar sesi penerangan yang bermula 8.45 pagi itu.

Orang ramai yang tidak dapat masuk ke dalam dewan itu pula dilihat sanggup duduk bersila di luar dewan dan menyaksikan majlis itu melalui tayangan layar putih.

Majlis yang turut dianjur bersama Kelab Alumni UMNO Luar Negara ini merupakan lanjutan daripada siri Dialog Isu Nasional yang diadakan di seluruh negara sejak bulan lepas.