Keadaan bayi 19 bulan yang menghidap penyakit Atresia Biliari (hati), Arshad Imanshah kini dilihat stabil walaupun denyutan jantung dan tekanan darahnya masih belum di peringkat memuaskan.

Bapanya, Antashah Mohd Nor berkata, ia tanda kesembuhan untuk Arshad sendiri dan harapan kini terletak kepada anaknya untuk keluar dari tahap 'kritikal' kini.

"Doktor cakap, mereka sudah buat yang terbaik dan kini doakan yg terbaik. Sepuluh peratus hati Arshad berfungsi, dengan segala bantuan perubatan...ada harapan untuknya.

"Doktor beritahu semua bergantung kepada Arshad pada proses penyembuhan ini...pemindahan hati dikira gagal, doktor juga cakap situasi kini dilihat amat menyedihkan.

"Hanya Kuasa Allah mampu mengubah keadaan, kami tidak akan putus asa. Arshad kuat," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini pada Isnin.

Arshad menjalani pembedahan pemindahan hati pada 28 Oktober lalu di Hospital Universiti Singapura (HUS) namun terpaksa menjalani tiga pembedahan susulan selepas mengalami kesukaran bernafas pada 5 November lepas.

Sejak Julai, Astro AWANI menyiarkan kisah Arshad yang memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk pembedahan pemindahan hati.

Kos itu tidak termasuk rawatan susulan dan ubat-ubatan yang terpaksa ditanggung selepas pembedahan.


Wajah terkini Arshad yang kini hanya 10 peratus hatinya berfungsi selepas pembedahan pemindahan hati di HUS - Gambar Antashah

Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana kini Arshad telah dipindahkan ke wad biasa daripada bilik pengasingan.

"Alhamdulillah, tidak terkata kegembiraan kami. Syukur tidak terkata dengan kekuasaan Allah. Pagi tadi Arshad lemah, namun sedikit aktif selepas tidur pada tengahari dan menjalani ultrasound," ujarnya.

Walaupun begitu jelas Antashah, Arshad mengalami demam berterusan pada Jumaat dan perutnya kembali membesar.

"Arshad diberi albumin (protein) bagi mambantu system badannya menyerap air yang dikeluarkan dari kitaran badan.

"Ubat pelali juga dikurangkan dan Arshad kembali ceria seperti dulu tetapi lemah sekali sekala.

"Semalam (Ahad) dan hari ini Arshad demam. Suhunya mencecah 38.9 darjah celcius. Tekanan darahnya tinggi mencecah 130 dan denyutan jantungnya juga laju sehingga ada ketikanya mencecah 160," katanya.

Bagaimanapun ujarnya, ternyata keajaiban Allah, doa tanpa henti, kata-kata semangat dan dorongan daripada keluarga menjadikan Arshad kini kelihatan ceria.

"InsyaAllah, semoga kesembuhan ini berpanjangan buat Arshad. Kami mahu lihat dia tersenyum manis sentiasa dan kurangkanlah kesakitan yang dialami.

"Kini Arshad di wad biasa dan mungkin esok lusa dia sudah boleh cuba makan sedikit. Sudah sebulan lebih Arshad tidak merasa makanan," jelasnya.


Antashah kini benar-benar mengharapkan keajaiban dan mengakui keadaan Arshad terlalu kritikal.

Tambahnya, dalam masa seminggu pemantauan rapi, doktor menukar dos ubat dan menambah beberapa vitamin lain mengikut keperluan badan Arshad.

"Bila perutnya membesar, doktor buat X-Ray, ultrasound. Demamnya masih ada, paru-parunya masih belum benar-benar kuat," katanya.

Antashah kini benar-benar mengharapkan keajaiban dan mengakui keadaan Arshad terlalu kritikal.

"Semalam, doa ibu dan 'daddy' Arshad termakbul dengan melihat dia kembali ceria. InsyaAllah kesembuhan berpanjangan buat Arshad," katanya sayu mengakhiri bicara.

Selain https://www.facebook.com/Arshadimanshah, maklumat mengenai Arshad juga boleh diperoleh melalui #arshadimanshah, #donateRM1forbabyarshad, #donatemoreRM1forbabyarshad dan #donateandsavebabyarshad.

Orang ramai juga boleh terus menghulurkan bantuan kepada Arshad dengan menggunakan akaun POSB Antashah di Singapura yang bernombor 406184617 atau melalui akaun Maybank Antashah yang bernombor 5628 4350 6388.