Harga pasaran ikan kembong di Kedah dikatakan naik mendadak sehingga ada yang mencecah RM20 sekilogram sejak sebulan yang lalu.
Pastinya pengguna yang mengeluh, apabila harga ikan yang turut dikenali sebagai 'ikan termenung' itu meningkat sebanyak dua kali ganda, berbanding hanya sekitar RM6 hingga RM10 sebelum ini.
Menurut peniaga, kenaikan itu berpunca kerana hasil tangkapan berkurangan apabila ramai nelayan yang tidak dapat turun ke laut ekoran faktor cuaca yang tidak menentu.
Tinjauan Astro AWANI pagi tadi mendapati, peniaga ikan di pelantar Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah terpaksa menjual dengan harga yang tinggi kerana hasil tangkapan yang sedikit.
Menurut peniaga ikan, Khatijah Md Shah, 43 tahun, harga ikan semenmangnya sering berubah setiap hari.
“Kenaikan harga ini berlaku sejak sebulan dua yang lalu. Dengan ikan kurang, faktor cuaca, bekalan kurang. Bukan sengaja hendak jual ikan mahal.
“Adakalanya keluar,tidak lepas kos minyak. Kami hendak bagi anak sekolah juga. Terpaksa buat juga (harga tinggi) ikan tidak ada,” katanya.
Kenaikan harga ikan ini sememangnya memberi kesan kepada pengguna bagaimanapun tidak semua yang memahami susah payah nelayan ke laut sebelum hasil tangkapan diperolehi.
Menurut seorang pelanggan, Amir Saleh, dia memahami masalah yang dihadapi nelayan dan terpaksa menerima hakikat yang harga ikan sememangnya tinggi.
“Orang kata nelayan ini pun teruk juga terpaksa ke laut mendapatkan sumber itu. Kita susah juga (harga tinggi) tetapi ini rezeki nelayan jadi saya nampak berbaloilah dengan apa hasil tangkapan mereka.
“Nelayan pun ramai tidak dapat turun ke laut sebab faktor cuaca, faktor ikan kurang. Pengguna, pembeli kena beli dan terima hakikat,” kata Amir ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata peningkatan harga pasaran ikan dan sayuran di negeri itu turut berpunca kerana musim perayaan Tahun Baru Cina bakal menjelang.
Beliau berkata, harga ikan kembong mencecah sehingga RM17 hingga RM20 di pasaran dan kenaikan itu dijangka akan berterusan sehingga angin monsun timur yang diramal berakhir pada pertengahan bulan Februari.
Sekaligus menyebabkan ramai nelayan bimbang untuk ke laut.
“Peningkatan harga adalah berpunca daripada musim angin timur yang berlaku di laut pada ketika ini dan perkara ini berkemungkinan akan berlarutan sehingga ke bulan Februari.
"Kita nasihatkan kepada pengguna di luar sana untuk sentiasa bijak berbelanja. Jadi kemungkinan harga ikan naik, kita boleh cari alternatif lain untuk membeli," nasihat Mohd Yusrizal.