Hampir satu juta isi rumah menggunakan kaedah dalam talian atau "e-Census" bagi mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat ini, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, Jabatan Perangkaan menyasarkan 10 juta penduduk akan menggunakan sistem itu dalam pelaksanaan fasa pertama Banci 2020 yang bermula 7 Julai hingga 30 Sept.

Beliau berkata pihaknya menyedari usaha publisiti untuk Banci 2020 perlu dipertingkat termasuk meninjau melakukan promosi di media sosial serta meminta selebriti media sosial yang mempunyai jumlah pengikut yang tinggi untuk membantu menghebahkan mengenai Banci 2020.

Pada masa yang sama, Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 mengakui tempoh bancian yang panjang turut menyebabkan rakyat berlengah untuk melakukan banci.

"Elak lewat-lewatkan (buat banci) untuk elakkan kesesakan trafik dalam laman web, e-Census," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan perasmian persidangan mengenai masa depan pekerjaan bagi sektor pelancongan di Malaysia (Pasca-COVID-19), di sini hari ini.

Projek bancian yang memasuki edisi keenam itu membabitkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta kediaman, dijalankan dalam dua fasa. Fasa pertama bermula dari 7 Julai hingga 30 Sept, dilaksanakan melalui e-Census, manakala fasa kedua dari 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Jabatan Perangkaan memerlukan kira-kira 100,000 pembanci untuk fasa kedua Banci 2020.

"Pembanci yang kita ada sekarang adalah kira-kira 20,000 ke 30,000 orang dan kita memerlukan lebih kurang 100,000 orang, jadi orang ramai yang berminat boleh membuat permohonan di ww.mycensus.gov.my," katanya.

-- BERNAMA