Dr Mahathir, yang mula memangku portfolio itu sejak 3 Januari lepas berkata, beliau akan turut mengambil kira kritikan daripada orang ramai berhubung dasar serta polisi mengenai sistem pendidikan di negara ini.
“Kita dapati banyak perkara yang perlu kita kaji semula sama ada baik atau tidak. Kita dapati orang ramai buat teguran, dan kita akan ambil kira teguran mereka sama ada perlu buat perubahan atau tidak.
“Selain itu, tujuan kita untuk mendidik anak anak kita supaya apabila mereka bila besar nanti, boleh hidup dengan sempurna, menjadi orang yang produktif dan bukan hanya menunggu bantuan sahaja,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Forum Integriti Bank Rakyat 2020, di sini hari ini.
BACA: Tun Mahathir pangku jawatan Menteri Pendidikan
Dr Maszlee Malik melepaskan jawatan Menteri Pendidikan berkuatkuasa 2 Januari lepas atas saranan dan nasihat Dr Mahathir.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau kini sedang dalam proses mendengar taklimat daripada pegawai Kementerian Pendidikan dan sudah mempunyai beberapa ‘idea’ tentang apa yang harus dilakukan.
“Sebagai Menteri Pendidikan, saya baru jadi pemangku beberapa hari sahaja. Saya dalam proses mendapat taklimat berkenaan tentang peranan Menteri Pendidikan dan saya juga berbincang dengan beberapa pegawai.
“Saya sekarang ini sudah dapat some ideas pemikiran berkenaan apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki sistem pendidikan di Malaysia,” katanya lagi.