Itu reaksi spontan Zulkarnain Idros, bapa kepada Zulfarhan Osman sebaik keluar dari kamar mahkamah.
Ia susulan keputusan Hakim Datuk Azman Abdullah yang mengarahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan anaknya.
"Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan supaya arwah dapat pembelaan," kata Zulkarnain.
Ibu Zulfarhan, Hawa Osman, menyifatkan keputusan mahkamah sebagai satu jawapan untuk doanya yang mahukan balasan setimpal diberikan kepada pesalah.
"Sudah dua tahun berlalu, namun pemergian arwah masih dirasai. Setiap malam, macam terngiang-ngiang suaranya.
"Lagi terasa semasa sambutan hari raya. Saya takkan lupakan arwah," ujarnya sebak.
Kedua-dua mereka hadir ditemani ahli keluarga yang lain dengan memakai baju T tertera tulisan "Justice For Farhan" dan "Say No to Bully."
Terdahulu, 19 penuntut UPNM didakwa atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Allahyarham dikatakan didera dengan kesan lecur 80 peratus sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Salah seorang tertuduh, Mohamad Akmal Akif Alias, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dan mencederakan Zulfarhan.
Tarikh 2 Oktober ditetapkan sebagai tarikh mula bicara bela diri.