Bayi tiga bulan di Tuaran, Sabah yang dijangkiti polio dilaporkan stabil ketika ini, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, 23 kanak-kanak yang berada di kawasan lokasi wabak juga sudah diberikan vaksin.

"Setakat ini kita masih lagi memberi rawatan kepada bayi berkenaan. Bayi itu masih stabil. Ada 23 kanak-kanak di kawasan berkenaan yang tidak dapat vaksinasi. Mereka juga sudah diberi vaksin," katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Persidangan "Be A Heart Hero" di Bangunan Yayasan Jantung Malaysia di sini pada Sabtu.

Mengulas lajut, beliau berkata, bayi berkenaan sebelum ini belum menerima vaksin sepenuhnya, menyebabkan dia mudah terdedah dengan jangkitan virus termasuk polio.

"Bayi berkenaan tidak sempurna lagi dari segi vaksin. Daripada tiga vaksin, dia hanya menerima satu. Dia masih tidak menerima imunisasi yang penuh.

"Jadi jangkitan itu sebab dia pergi Filipina atau ada orang dari Filipina membawa virus polio ke Malaysia dan virus itu berkembang dan menjangkiti bayi berkenaan," jelasnya.


Pada masa sama katanya, kawasan di Semenanjung Malaysia masih bebas dengan kes jangkitan polio setakat ini.

"Setakat ini tiada kes lagi di Semenanjung sebab masalah di sempadan dengan Filipina. Mungkin mereka (pendatang asing) dari Filipina sudah mendapat vaksin Oral Polio Vaccine (OPV), namun apabila OPV itu keluar dari najis, virus itu akan berkembang dan merebak.

BACA: Polio kembali! Kes pertama setelah 27 tahun Malaysia bebas jangkitan - KP Kesihatan

"Mesej penting ialah kalau kita boleh bagi vaksin daripada 90 ke 95 peratus dan komuniti berkenaan akan dilindungi," kata beliau.

Mengulas lanjut, Malaysia masih kekal memberikan vaksin secara suntikan atau Inactivated Polio Vaccine (IPV) yang menggunakan virus polio yang telah dimatikan.

"OPV sudah lama kita hentikan kerana sejak 2008 kita guna IPV. IPV ialah menggunakan virus yang dimatikan, jadi ia tidak ada kesan sampingan.

"OPV menggunakan virus yang dilemahkan. OPV ada risiko iaitu sanitasi, imunisasi, dan boleh menjangkiti mereka yang tidak divaksin," jelas beliau.

Untuk rekod, kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada tahun 1992.