Dua kanak-kanak bawah umur dua tahun yang ditahan selama 19 hari di Depot Imigresen Bukit Jalil akan dilepaskan untuk dihantar pulang pada Rabu (3 Julai), kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Kanak-kanak warga asing berkenaan ditahan dalam operasi serbuan oleh Jabatan Imigresen di Apartmen Plaza Indah, Kajang pada 14 Jun lalu.

Ketika serbuan, kedua-dua anak warga Filipina itu, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditinggalkan bersama seorang penjaga, manakala ibu mereka yang mempunyai dokumen sah tiada di rumah.

“Mereka ditahan buat sementara sebelum diusir kerana urusan dokumentasi dengan pihak Filipina memerlukan sedikit masa,” jelas Khairul ketika dihubungi Astro AWANI.

Pihak Jabatan Imigresen dihubungi susulan kenyataan dikeluarkan badan bukan kerajaan (NGO) Tenaganita yang membantah tindakan menahan kanak-kanak itu, menyifatkan ia langsung tidak berperikemanusiaan.


“Bayi-bayi itu tidak bersama ibu mereka dan ditahan dalam keadaan yang tidak sesuai buat kanak-kanak selama 20 hari yang lalu,” dakwa Tenaganita dalam satu kenyataan.

Kata NGO tersebut, mereka ditahan di depot berkenaan walaupun pihak Kedutaan Filipina dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah campur tangan.

Tenaganita mendakwa Kedutaan Filipina di Malaysia tidak dapat menyerahkan dokumen perjalanan buat kanak-kanak terbabit kerana menunggu penyerahan dokumen pengusiran daripada pihak Depot Imigresen Bukit Jalil.

Namun, Jabatan Imigresen menafikan gambaran yang diberi Tenaganita menyatakan depot tersebut tidak sesuai untuk kanak-kanak.

“Kemudahan asas untuk kanak-kanak telah disediakan,” kata Khairul sambil menyertakan beberapa keping gambar yang menunjukkan kawasan permainan di depot tersebut.

Foto Jabatan Imigresen