BARU-BARU ini, Datuk Seri Idris Jala mengatakan bahawa Malaysia tidak lagi tersangkut dalam perangkap pendapatan sederhana (middle-income trap).

Menurut beliau, ia kerana Malaysia telah berjaya merapatkan jurang Pendapatan Negara Kasar (PNK) yang ditetapkan tahap pendapatan tinggi Bank Dunia daripada 33 peratus pada 2009 kepada 16 peratus pada 2014.


Alhamdullilah.

Namun, adakah ini benar, penting, dan patutkah kita bergembira dengan kejayaan ini?

Jawapannya: Tidak, tidak, dan belum lagi.

Malah, perjalanan masih jauh ke arah negara berpendapatan tinggi.

Pertama, pendapatan per kapita negara yang diukur berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenarnya telah menurun sejak tahun 2013.

Menurut laporan Bank Negara Malaysia, KDNK per kapita Malaysia telah jatuh dari AS$10,345 pada tahun 2013 kepada AS$9,291 pada tahun lepas. Ini penurunan sebanyak 10 peratus.

Malah, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) lagi, ia akan menurun lagi pada tahun ini, kepada AS$8,821.

Nah, kekayaaan negara per kapita bukannya naik, tapi menurun. Selain daripada kejatuhan nilai mata wang Ringgit, kejatuhan harga minyak mentah dunia menjadi faktor utama kepada kelembapan ekonomi domestik.

Maka jauhlah lagi jalan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

Kedua, jika unjuran kita berdasarkan PNK per kapita seperti yang diucapkan oleh Datuk Seri Idris Jala, taraf negara kaya yang kita idamkan adalah selepas kita melepasi tahap AS$15,000, dan bukannya AS$12,276.

Kita tidak seharusnya mengubah tiang gol semasa perlawanan berlaku. Malah, laporan Rancangan Malaysia ke-11 juga meletakkan sasaran AS$15,000, dan bukannya AS$12,276 yang dilafazkan oleh Datuk Seri Idris Jala.

Jika Malaysia ingin mencapai tingkat AS$15,000, kadar pertumbuhan purata PNK per kapita mestilah sekurang-kurangnya 7 peratus setahun.

Prestasi dari tahun 2010 sehingga 2014 menunjukkan PNK per kapita hanya bertumbuh pada kadar 4.1 peratus setahun. Ini bermaksud amat mustahil kita akan menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 memandangkan kadar pertumbuhan ekonomi yang makin lembap.

Ketiga, katakanlah negara kita berjaya mencapai taraf negara berpendapatan tinggi sebelum 2020, ini tidak ada ertinya sekiranya hanya sebahagian kecil rakyat yang menikmati kekayaan tersebut.

Kita tidak mahu negara perpendapatan tinggi, tetapi rakyat majoriti berpendapatan rendah. Sebagai perbandingan, gaji pertengahan rakyat Malaysia pada tahun lepas adalah RM1,600 sebulan.

Dalam erti kata lain, separuh dari pekerja di negara ini mempunyai gaji kurang dari RM1,600. Ini bukan pencapaian yang kita boleh banggakan.

Menjadi negara berpendapatan tinggi tidak bermaksud rakyat akan terus menjadi kaya. Lihat sajalah Kuala Lumpur.

Sekiranya Kuala Lumpur adalah sebuah negara, ia sudah tergolong dalam negara berpendapatan tinggi. Namun, tahun lepas, separuh pekerja di Kuala Lumpur mendapat gaji bulanan kurang dari RM2,200.

Malah, tiada peningkatan gaji langsung bagi warga pekerja di Kuala Lumpur pada tahun yang lepas.

Bukannya makin kaya, tetapi makin tersempit.

Keempat, amatlah penting juga kekayaan negara di kongsi bersama. Tidak ada ertinya sekiranya hanya segelintir rakyat yang maju, tetapi ramai yang terpinggir dan melarat.

Sebagai contoh, walaupun Kuala Lumpur kaya, namun Kelantan dan negeri lain masih lagi miskin.

Sebagai perbandingan, Kuala Lumpur kaya seperti negara Korea dari segi pendapatan per kapita, namun Kelantan masih di bawah paras negara miskin, malah lebih miskin dari Sri Lanka.

Kesimpulannya, kita harus jujur dengan pencapaian yang kita kecapi. Ini penting supaya pembaikan boleh dilakukan.

Secara jujurnya, Kerajaan banyak mencuba untuk menaikkan taraf hidup rakyat dan negara, namun masih banyak yang masih perlu dilakukan.

Cabaran utama Malaysia pada ketika ini ialah untuk memastikan bagaimana ekonomi dapat berkembang, dan pertumbuhan ekonomi dikongsi secara adil oleh rakyat.

Ini bukannya mudah dicapai kerana pertumbuhan sangat kecil mempengaruhi corak pengagihan pendapatan kerana struktur ekonomi yang tidak seimbang.


* Awang Belanda merupakan pengkaji ekonomi lulusan sarjana ekonomi dari Eropah.

** Artikel daripada penulis ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili perspektif sidang pengarang Astro AWANI.