Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengulangi pendiriannya tidak menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Setiausaha Agungnya Datuk Marzuki Yahya berkata banyak lagi konvensyen berhubung hak asasi manusia yang boleh diberi penekanan namun ICERD bukan salah satu daripadanya.

"ICERD ini semua sedia maklum Timbalan Presiden Bersatu (Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir) dah keluar kenyataan menjelaskan kita (Bersatu) tak menerimanya.

"Bersatu sama sekali menolak dan tidak mengakui ICERD salah satu tuntutan yang patut kita tandatangan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Bersatu Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Penerangan Bersatu Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor.

Pada 9 Nov lepas, Mukhriz dilaporkan berkata tiada keperluan untuk negara menandatangani ICERD kerana ia tidak bersesuaian dengan situasi 'unik' di negara ini.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal diadakan, Marzuki berkata Bersatu akan menyokong calon yang akan diletakkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi berkenaan.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya di Seremban memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal dan PRK DUN itu perlu diadakan serta-merta.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas calon PKR Dr S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei, Dr Streram, seorang pakar bius, memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah.

-- BERNAMA