Kita mungkin terlepas pandang. Sedang kita menikmati waktu santai bersama keluarga di rumah dikala Perintah Kawalan Pergerakan diaktifkan, ada ramai di luar sana yang sanggup meninggalkan isteri dan anak-anak demi sebuah pengorbanan untuk mencari sesuap nasi untuk keluarga yang dicintai.
Abang-abang Grab Food, Foodpanda dan lain-lain, mereka inilah yang menjadikan arahan “duduk di rumah diam-diam” lebih bermakna dengan perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman oleh mereka.
Tanpa mereka, kita tidak mungkin boleh menikmati makanan kegemaran kita yang selalu kita nikmati sebelum wujudnya Perintah Kawalan Pergerakan.
Sebagai pencinta kopi hitam atau ‘Long Black Coffee’, Grab Food merupakan pilihan utama saya untuk membuat tempahan dan selaku wira yang perlu disanjung, “abang rider” Grab Food lah yang menyatukan saya kembali dengan secawan kopi hitam dari kedai-kedai kopi yang selalu menjadi singgahan saya setiap hari sebelum adanya perintah duduk diam-diam di rumah ini.
Tanpa mereka, abang-abang penghantar makanan dan minuman seperti Grab Food, Foodpanda dan lain-lain, amatlah sukar untuk kita menjamah makanan dan minuman yang seringkali menjadi makanan pilihan kita, khususnya bagi mereka yang tidak memasak dan kurang mahir memasak.
Apalah sangat sekiranya kita dapat memberi sedikit saguhati seperti air kotak atau tip sekitar RM5 hingga RM10 beserta senyuman manis yang disulam dengan ucapan “terima kasih ye abang rider” sebagai tanda penghargaan kita kepada kesungguhan, kesetiaan dan kesanggupan mereka mencari rezeki dikala yang lain menonton Netflix dan HBO di rumah sambil menanti detik untuk gaji bulanan dimasukkan ke dalam akaun bank.
Usah dilupa mereka yang berjuang dalam pengembaraan memenangi duniawi demi mengejar Rahmatan Lil Alamin untuk kesejahteraan di akhirat.
Bersyukurlah kepada Maha Pemberi Rezeki untuk setiap nafas dan rezeki, dan berterima kasihlah kita kepada mereka yang menjadikan rezeki-rezeki yang kita pohon disampaikan ke tangan kita.
* Amerul Azry Abdul Aziz merupakan seorang penulis bebas.
* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.