Seorang wanita dan teman lelakinya ditahan polis bagi membantu siasatan kes membuang bayi perempuan di Masjid Lama Ara Kuda, Tasek Gelugor.

Pasangan berusia 28 tahun yang juga suspek utama kes tersebut ditahan di Hospital Kulim pada petang Khamis kerana bersubahat membuang bayi pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku melahirkan bayi perempuan berkenaan di rumah ibunya di Kulim Kedah sebelum meninggalkannya di masjid berkenaan.

Suspek juga mengaku merahsiakan kandungannya dari pengetahuan ibunya sehingga melahirkan bayi tersebut.

Wanita itu, yang juga ibu tunggal kematian suami pada tahun 2015, mempunyai seorang anak perempuan berumur 6 tahun, memberitahu dia telah menjalinkan hubungan intim dengan teman lelakinya yang dikenali melalui laman media sosial lebih setahun lalu.

Sementara itu, siasatan polis mendapati lelaki yang ditahan itu mempunyai dua rekod jenayah lampau atas kesalahan buang negeri.

Noorzainy berkata, kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan hari ini.

Pada Rabu, nenek kepada bayi malang itu ditahan reman selepas dia bersubahat bersama anak perempuannya itu membuang bayi.

BACA: Buang bayi di masjid, nenek ditahan

Wanita berusia 57 tahun yang juga nenek kepada bayi malang itu ditahan di Hadapan Balai Polis Kulim Hi-Tech, Kulim Kedah kira-kira jam 1 pagi.

Selasa lepas, seorang bayi perempuan ditemui berbalut kain batik ditinggalkan dalam kotak di belakang Masjid Lama Ara Kuda, Tasek Gelugor.


Bayi itu ditemui jemaah lelaki yang ingin menunaikan solat Zohor yang kemudiannya menghubungi polis.