Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin tidak menyerahkan secara terus bungkusan atau beg mengandungi wang tunai RM1.5 juta kepada Datin Seri Rosmah Mansor sebagai balasan membantu syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak.

Rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah, 41, juga bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader bahawa Saidi tidak mengungkapkan ayat “Datin, dalam ini duit RM1.5 juta sebagai bayaran bagi projek solar” ketika pertemuan di rumah isteri bekas perdana menteri itu di Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

“Saidi juga tidak meletak bungkusan atau apa-apa beg di atas meja di depan Datin Seri Rosmah dan beritahu dalam bungkusan atau beg ini ada RM1.5 juta sebagai bayaran bagi projek solar,” kata Akberdin yang dijawab “tidak” oleh saksi pendakwaan ke-16 itu.

Rayyan Radzwill berkata demikian ketika disoal balas Akberdin yang mewakili Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi berhubung projek tenaga solar itu.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Menurut Rayyan Radzwill, beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai isi kandungan kedua-dua beg galas yang didakwa diletakkan oleh pemandu peribadi Saidi, Shamsul Rizal Sharbini, di tepi sofa berwarna hijau di ruang tamu rumah Rosmah dan tidak pernah melihat duit di dalam kedua-dua beg berkenaan.

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa beliau hanya mengetahui kedua-dua beg galas tersebut mengandungi wang tunai berjumlah RM1.5 juta selepas diberitahu Saidi semasa mereka beredar dari rumah isteri bekas perdana menteri tersebut.

Disoal Akberdin sama ada wujud kemungkinan kedua-dua beg galas itu mengandungi beberapa dokumen sokongan untuk perhatian Rosmah berkaitan projek solar hibrid, saksi itu menjawab: "Saya berpegang pada apa yang diberitahu oleh Saidi kepada saya dan saya percaya kata-katanya. Saya ada tanya dia (Saidi) apa di dalam beg itu (ketika berada di rumah Rosmah) dan dia (Saidi) jawab, ada something (sesuatu).”

Disoal seorang lagi peguam Rosmah, Azrul Zulkifli Stork bahawa saksi sebenarnya tidak tahu siapa yang mengambil duit tersebut, Rayyan Radzwil menjawab: “Ya, tidak tahu kerana Rizal yang berada di dalam rumah Datin Seri Rosmah meminta kami beredar dari rumah itu dahulu.”

Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi tersebut berkata tiada sesiapa pun memintanya membawa balik kedua-dua beg berkenaan sebelum beredar dari rumah Rosmah.

Saksi itu juga berkata Rosmah tidak pernah membantah ketika Saidi memberitahunya bahawa wang akan diberikan kepadanya (Rosmah) berdasarkan kemajuan projek solar hidbrid dan saksi itu bersetuju dengan cadangan Sri Ram bahawa Rosmah menjawab "Okaylah" ketika dimaklumkan mengenai wang bayaran berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-- BERNAMA