Namun, pengiktirafan itu seolah-olah tidak seperti yang digambarkan menerusi pemerhatian penulis ketika berada di pulau lagenda itu.
Busuk, kotor, dan tercemar; itulah ungkapan yang paling sesuai menggambarkan nasib yang dialami Sungai Kilim, Langkawi yang dipercayai menjadi mangsa pencemaran akibat kegagalan pengurusan sisa pepejal di pulau itu.
Mana tidaknya, loji insinerator bernilai hampir RM70 juta di pulau itu tidak berfungsi sejak sekian lama selain sampah dari seluruh pulau terpaksa dilonggokkan di tanah lapang bersebelahan insinerator tersebut.
Jaraknya kurang 20 meter dari kawasan yang menempatkan lebih 40 spesis paya bakau yang sememangnya menjadi tumpuan bukan sahaja para pelancong malah pengkaji dan pencinta alam semula jadi dari seantero dunia.
Tambah kritikal, bahan larut lesap dari pusat longgokan sampah itu kini memasuki Sungai Kilim.
Air hitam, busuk masuk ke Sungai Kilim
"Air itu daripada warna kelabu keputihan, sekarang ia bertukar menjadi warna hitam dan juga berbuih. Ia berlaku dalam tempoh selama satu minggu.
"Hujan, tapi tak kuat... tapi pelepasan air dari dalam sana (pusat longgokkan sampah) dia ke dalam sungai."
Itu keluhan Ketua Komuniti Nelayan Sungai Kilim, Omar Ariffin yang melihat sendiri air berwarna hitam pekat, berbuih dan busuk memasuki Sungai Kilim sejak 14 Ogos lalu.
Ikuti pendedahan eksklusif Wartawan Astro AWANI, Asyraf Hasnan berkenaan kemelut 20 tahun pengurusan sisa pepejal di pulau itu.
Pelancong batal niat melawat hutan paya bakau
Sementara itu, bagi Aktivis Pelancongan Langkawi, Adnan Hasan, beliau menyifatkan pencemaran yang berlaku di pulau itu seperti sebuah bom jangka.
Beliau gusar jika pencemaran tersebut akan memberi impak jangka masa panjang kepada ekosistem di kawasan itu.
Malah, beliau pada masa sama mengakui menerima rungutan daripada pengusaha bot pelancong susulan pembatalan lawatan hutan paya bakau di kalangan pelancong.
"Kemerosotan jumlah pelancong kita tidak boleh tengok sebab ada perbezaan mengikut bulan dan musim. Tetapi kita boleh tengok dari segi maklum balas pelancong.
"Contohnya apabila pelancong datang (ke Jeti Sungai Kilim) mahu melawat paya bakau, kemudian pelancong batal niat tersebut. Perkara ini makin kerap berlaku disebabkan pelancong merasakan kawasan ini sangat busuk.
"Kawasan ini air sungainya sangat hitam dan sangat kotor. Jadi reaksi pelancong (diterjemahkan) daripada sepatutnya dia hendak pergi, menjadi tidak jadi pergi. Ini sesuatu yang sangat membimbangkan dan kita percaya kes-kes ini akan bertambah," katanya.
Malah, katanya pelancong turut mempersoalkan sama ada bau yang dihidu di kawasan itu adalah bau asli hutan paya bakau, atau bau sampah yang tidak diuruskan dengan sempurna.
MNS kecewa, gagal mainkan peranan
Saya sudah putus asa! Itu perkataan yang terpacul dari mulut Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Langkawi, Eric R. Sinnaya ketika ditanya apakah usaha yang telah dilakukan beliau mewakili badan bukan kerajaan dalam menangani isu tersebut.
Tegas beliau, kemelut pengurusan sisa pepejal yang berlanjutan sejak 20 tahun lalu masih belum ada jalan penyelesaiannya.
Malah, beliau kecewa apabila cadangan dan idea yang dilontarkan badan bukan kerajaan dan aktivis alam sekitar di Pulau Langkawi dipandang enteng.
"Kecewa, saya sangat kecewa. Sangat kecewa hingga banyak kali saya ingin lepaskan jawatan pengerusi dan tinggalkan semuanya.
"Maksud saya, saya boleh buat tak kisah dan tidak peduli. Tak peduli sebab apa? Sebab apa yang kita buat pun kita tidak dapat apa-apa hasil. Bila kita tunjuk ajar kepada mereka, mereka tidak memberi sokongan. Sistem ini sangat teruk," katanya.
Pada masa sama, Eric mengakui agensi kerajaan seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersikap acuh tidak acuh dengan pencemaran berkenaan.
Tahap kandungan bakteria dipersoal
Adakah hidupan laut di kawasan itu selamat di makan?
Itu yang dipersoalkan Perunding Perubatan, Dr Abdul Ghani Hussain, yang turut mengesahkan bakteria seperti salmonella dan e-coli antara bakteria yang semangnya aktif di Sungai Kilim.
Malah, beliau mempersoalkan sejauh mana tahap bakteria yang terkandung dalam sungai itu boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia.
"Keadaan di sini amat genting sekarang apabila kita tengok air daripada tempat pelupusan sampah ini masuk dalam sungai, jadi banyak yang boleh kita andaikan kemungkinan yang berlaku.
"Air yang dibawa dari tempat pelupusan sampah ini membawa banyak jenis kuman yang merebak dalam tempat pelupusan seperti salmonella dan e-coli sememangnya mesti ada dalam air ini," ujarnya.
Anak tempatan Langkawi itu memberitahu, nelayan termasuk pelancong turut terdedah kepada penyakit bawaan air termasuk radang kulit dan kencing tikus.
Justeru, terus menjadi persoalan, hingga bila kemelut ini akan berlanjutan?
Berikut merupakan kronologi pembinaan, pengoperasian hingga kegagalan loji insinerator di Pulau Langkawi.
Berikut merupakan kronologi pembinaan, pengoperasian hingga kegagalan loji insinerator di Pulau Langkawi.