Kerajaan diminta mewujudkan satu daftar pelaku jenayah seksual bagi menangani masalah keganasan terhadap kanak-kanak yang semakin meningkat.

Zairil Khir Johari (DAP-Bukit Bendera) berkata daftar itu membolehkan pengawalan dan pemantauan pergerakan penjenayah terbabit terutamanya terhadap pedofilia dan kanak-kanak.

"Dalam hal ini, terdapat dua jenis daftar, sama ada yang terbuka seperti di Amerika Syarikat, ataupun tertutup seperti di kebanyakan negara lain.

Pada hemat saya, adalah tidak wajar daftar terbuka digunakan, kerana ia akan menimbulkan kebimbangan pencabulan kebebasan awam. Sebaliknya, sudah memadai untuk menggunakan daftar sulit yang hanya boleh dicapai oleh pihak berkepentingan seperti polis dan jabatan-jabatan yang berkait dengan kesihatan dan kebajikan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau berkata daftar sedia ada kini tidak memadai kerana tidak ada daftar khusus bagi pedofilia ataupun pelaku jenayah seksual kanak-kanak.

Pada ketika ini, Zairil berkata Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1969, hanya meliputi kesalahan seperti rogol, perlakuan liwat dengan haiwan dan persetubuhan luar tabii.

Sehubungan itu, beliau berharap Akta Kanak-Kanak 2001 dipinda bagi melarang atau mengekang pergerakan pelaku jenayah seksual untuk tidak mendekati kawasan seperti sekolah, pusat penjagaan, taman permainan dan sebagainya, ataupun bekerja dalam persekitaran yang membabitkan kanak-kanak.

Beliau juga berpendapat bahawa undang-undang baharu diperlukan yang bukan sahaja mentakrifkan serta membezakan pornografi kanak-kanak daripada bahan lucah lain, tetapi memperkenalkan hukuman yang berat ke atas mereka yang mengedar dan menghasilkan pornografi kanak-kanak.

Dari segi teknologi dan penggunaan internet pula, beliau berkata Penyedia Perkhidmatan Internet juga harus diwajibkan untuk melaporkan sebarang pornografi kanak-kanak yang ditemui dalam rangkaian mereka.

Menurutnya, undang-undang khusus perlu diwujudkan untuk mendakwa mereka yang melayari serta memuat turun pornografi kanak-kanak selain Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1997 yang melarang pengisian yang sumbang, lucah atau jelik.

"Kita juga memerlukan kerangka undang-undang untuk menangani gejala online grooming, iaitu orang dewasa yang berkawan dengan kanak-kanak melalui internet, umpamanya dengan media sosial Facebook dan sebagainya, dengan tujuan mengambil kesempatan ke atas mereka dari segi seksual," katanya.

Kes seperti itu makin kerap berlaku, kerana teknologi memudahkan komunikasi antara pedofilia dengan kanak-kanak, katanya.