Polis sudah membuka empat kertas siasatan terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung tindakannya cuba menghasut campur tangan asing bagi mendesak perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata setakat ini, beberapa siasatan masih dijalankan manakala yang lain sudah dihantar kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Katanya ada kertas siasatan yang dibuka kerana menghasut dan juga perkara lain.

“Sebahagian daripada kertas siasatan masih belum diselesaikan dan beberapa daripadanya sudah dikemukakan kepada peguam negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan PDRM, di sini hari ini.


Laporan the Australian Sabtu lalu menyiarkan kenyataan Tun Mahathir yang dikatakan menggesa campur tangan asing di negara ini.

Mahathir dilaporkan mendakwa, tekanan asing diperlukan untuk memaksa Najib berundur kerana katanya saluran untuk mencari penyelesaian dalam negara telah ditutup sepenuhnya.