Kira-kira jam 5 petang, trafik rupa-rupanya sudah mula sesak.
Walaupun syarahan Dr Zakir hanya bermula empat jam kemudian, hadirin sudah mula memenuhi kawasan pekarangan stadium.
Kebanyakan yang sudah tiba merupakan golongan muda; yang datang sendirian atau tiba beramai-ramai bersama teman.
Misalnya, Siti Madihah yang datang dari sebuah institut pendidikan guru. Dia menunggu anggota rombongan cukup sebelum menuju ke kaunter pendaftaran.
“Kami datang dua bas,” ujarnya sambil tersenyum.
Dr Zakir Naik: Apa anda perlu tahu
BACA: Hampir 4,000 orang dengar ceramah anak Zakir Naik, Fariq Naik di Pulau Pinang
BACA: Najib harap Dr Zakir sampaikan mesej kesederhanaan Malaysia ke seluruh dunia
1- Tak ada nama, tak boleh masuk
Tiba di kaunter pendaftaran media, saya terlihat seorang jurukamera sedang meluahkan rasa tidak puas hati. Kita namakan dia Abu. Abu tidak dibenarkan masuk sebagai pihak media oleh pihak penganjur kerana namanya tiada dalam senarai.
Sambil menunggu sukarelawan menyelesaikan kekalutan, seorang wartawan lain mendapat pas masuk. Abu tambah marah.
“Nama dia pun tak ada dalam senarai. Kenapa dia dapat?”
“Mungkin dia dapat sebab dia bukan Muslim. Untuk dakwah,” jawab sukarelawan.
“Eh, susahlah begitu. Dakwah untuk Muslim tak ada?” balas Abu.
Akhirnya masalah diselesaikan dengan tenang oleh pihak penganjur yang bersetuju untuk memberikan pas media sementara.
BACA: Ceramah Dr Zakir Naik: 40,000 tidak berganjak walaupun hujan
BACA: Gadis Kristian peluk Islam, ucap dua kalimah syahadah di hadapan Dr Zakir Naik
2- Dari Kansas ke Bukit Jalil
Sambil menunggu acara bermula, saya sempat bertemu dengan beberapa hadirin bukan Muslim. Jujurnya, saya tertarik untuk mengetahui pendapat mereka mengenai Zakir Naik dan syarahannya.
Salah seorangnya Leong (bukan nama sebenar) yang sanggup memandu dari Bachang, Melaka. Ketika ditanya tentang sebab kehadirannya, Leong pada mulanya terdiam namun perlahan-lahan bersuara:
“Saya pernah tonton dia di YouTube. Hujahnya meyakinkan. Jadi saya nak tonton lebih dekat.”
Begitu juga dengan anak jati Kansas, Andrew hadir di stadium bersama dua orang rakannya yang bercuti panjang di Asia Tenggara.
“Saya sudah lima bulan bekerja di Kuala Lumpur. Kami di sini kerana ambil peluang untuk tonton Zakir. Dia juga terkenal di Amerika Syarikat. Kawan kami selalu kata: awak kena tengok video ni, awak kena tengok Zakir Naik. Jadi, kami di sini,” jelas Andrew.
3- Kenapa takut hujan?
Acara dibuka dengan bacaan Al-Quran dan syarahan mini oleh beberapa orang pendakwah termasuklah anak Zakir Naik, Fariq.
Ketika itu hujan benar-benar lebat. Yang duduk di padang mula bergegas ke kawasan berbumbung. Namun janggalnya, salah seorang penceramah berucap ketika itu:
“Kenapa takut hujan? Ini rahmat Tuhan. Bukankah Kuala Lumpur sudah berminggu-minggu panas dan tidak mendapat hujan?”
Sudah tentulah saya tidak menyanggah bahawa hujan itu nikmat. Namun pada hemat saya, ucapan itu kurang sesuai, apatah lagi apabila disampaikan oleh penceramah yang berdiri di pentas yang berbumbung. Andai dia turut berhujan sama, mungkin lebih molek.
Namun ada juga hadirin yang kekal di padang berbaju hujan. Tabik hormat buat mereka.
4- Peminat setia menanti
Puluhan hadirin menunggu di hadapan bilik solat khas selama lebih 40 minit sambil menghalakan telefon pintar masing-masing ke pintu bilik tersebut.
Mereka mahu, walau sekilas, dapat merakam kelibat Zakir Naik yang bakal keluar untuk memberi ceramah. Saya turut bersedia merakam gelagat mereka.
Ketika itu saya dihampiri oleh seorang sukarelawan.
“Bang, Dr Zakir tak ada dalam bilik itu. Dia sudah keluar. Naik lif lain.”
Saya tercengang lalu meninggalkan ruang tersebut. Aneh juga kerana tidak ada seorang pun petugas keselamatan atau sukarelawan yang memberitahu para peminat Zakir Naik bahawa penantian mereka mungkin tidak berhasil.
5- Malas tepuk tangan
“Malaysia, saya berikan kepada anda, Dr Zakir Naik!”
Stadium penuh. Tepukan benar-benar gemuruh. Zakir mula menyampaikan syarahan berjudul Is The Quran God’s Words?
Zakir berhujah membuktikan bahawa mustahil Quran itu dikarang oleh Nabi Muhammad. Hadirin bertepuk tangan setiap kali dia menampilkan ciri ucapannya yang tersohor: petikan ayat kitab suci yang lancar dan pantas.
Namun tepukan itu cuma sementara. Sekali-sekala saya perhatikan wajah Zakir ada riak kehairanan. Biasanya teknik itu bakal menghadirkan tepukan gemuruh dalam siri syarahannya di Dubai atau Arab Saudi.
Maafkan kami, Dr Zakir. Ini Malaysia. Kami memang malas bertepuk, untuk acara apa sekalipun.
6- Larut dan surut
Menjelang jam 11 malam, satu pertiga hadirin mula meninggalkan stadium. Kebanyakannya mahu mengejar perjalanan tren LRT. Namun masih ramai yang masih setia.
Bahagian kedua syarahan Zakir berlegar di sekitar unsur saintifik dalam Quran yang membuktikan beberapa teori sains ribuan tahun sebelum dibongkar oleh para saintis.
Minat dan fokus hadirin tampak berkurang apabila Zakir mengulas tentang unsur geologi dan jantina lebah yang dinyatakan dalam Quran.
7- Soal, jawab, dan syahadah
Kepada yang bertanya soal ketuhanan, Zakir akan membalas dengan soalan: adakah kamu percaya pada Tuhan yang Esa? Dua soalan susulan: Adakah kamu percaya Isa itu pesuruh Tuhan? Adakah kamu percaya Muhammad itu pesuruh Tuhan?
Jika kesemua dijawab ya, Zakir membuat kesimpulan: bagi saya, kamu sudah seorang Muslim. Kamu mahu ucap semua itu dalam bahasa Arab?
Lalu penyoal bersyahadah.
BACA: Empat lagi memeluk agama Islam pada ceramah Dr Zakir Naik
BACA: 'Terima kasih Hindraf' - Dr Zakir Naik
Saya tidak mahu mempertikaikan niat sesiapa pun bersyahadah. Soal akidah, sifatnya intim dan peribadi. Jika benar-benar nekad, silakan melafaz.
Namun pada hemat saya, sesi bersyahadah di khalayak ramai begini, sekalipun menimbulkan rasa terharu dalam kalangan Muslim dan mampu dijadikan dakwah - persekitarannya begitu menekan dan terdedah.
Bayangkan anda berada di hadapan mikrofon dengan seribu satu persoalan tentang agama dan tuhan. Bagi yang sememangnya sudah lahir sebagai Islam, ini sukar dibayangkan.
Selepas beberapa lama bersoal jawab, berpuluh ribu pasang mata memandang anda dan anda tahu kebanyakan mereka menunggu dan mahu anda mengucapkan syahadah.
Sebab itulah ketika seorang penyoal semalam ditanya “adakah kamu percaya pada Tuhan yang Esa” - jawapannya menyebabkan sesi sebegini perlu penelitian:
“Saya tahu apa yang anda (Dr Zakir) ingin lakukan (mendorong saya bersyahadah) - jadi saya tidak mahu jawab soalan itu. Awak mesti hormat hak saya.”
Saya juga tertanya-tanya mengapa pihak penganjur melarang penonton merakam penyoal yang bersyahadah. Cuma satu saja yang sempat dirakam, barangkali kerana tidak sempat menghalang.
Apabila saya bertanya tentang larangan itu, jawab sukarelawan: Awak tak perlu faham.
Kesimpulan
Dakwah itu murni. Sebagai Muslim, saya tidak nafikan perkara itu. Pengetahuan dan pengalaman Dr Zakir Naik sebagai pendakwah dalam perbandingan agama juga saya hormati.
Namun pada hemat saya nan jahil ini, sesi bersyahadah di khalayak ramai seperti ini perlu diurus dengan teliti.
Kita tidak mahu sangkaan seperti “sesi ini dirancang” atau “Dr Zakir sahajakah yang boleh mendengar syahadah?” merencatkan kemurnian beragama.
Sesi syarahan Dr Zakir berguna untuk penganut pelbagai agama saling memahami, namun bukan gelanggang untuk kita bertempik sorak ‘agamaku menang, agamamu tewas.’
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI