Kisah gelandangan di Kuala Lumpur bukan cerita baru kepada warganya. Bilangannya sebenarnya semakin bertambah setiap hari. Jika tidak percaya boleh cuba susuri sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman, sekitar Chow Kit dan Jalan Tun Perak terutama pada waktu malam.

Kaki lima di sepanjang hadapan premis di sana seolah-olah seperti tilam empuk untuk mereka. Menguis sisa-sisa makanan selain mengharap belas kasihan kedai makan di kawasan sekitar menjadi rutin wajib yang memberi mereka sedikit nafas untuk golongan ini tidur lena.

Pergilah sendiri melihat mereka ini meminta-minta nasi kosong dan kuah kari di beberapa kedai nasi kandar 24 jam di kawasan berkenaan. Jika bernasib baik, pasti ada picisan ikan atau leher ayam yang dikira bonus dalam santapan mereka hasil 'derma' daripada pemilik kedai.

Saya akui, bantuan warga kota sendiri dalam menyalur makanan banyak melegakan mereka daripada kelaparan. Semakin hari semakin banyak persatuan, NGO atau orang perseorangan yang menghulurkan nasi bungkus dan air mineral sekali gus menjadikannya aktiviti kebajikan yang harus dipuji semua.

Realitinya sampai bila gelandangan ini akan terus mengharap belas, merayu kasihan dan terus tidur bersama selimut angin malam dan bercadarkan kotak terpakai?

'Sudah makan?'

Menghabiskan detik makan malam bersama beberapa gelandangan mungkin satu usaha mengumpul pahala. Melihat mereka tersenyum setiap kali sampai bantuan makanan entah dari siapa-siapa apabila ada kenderaan pacuan empat roda memarkir di tepi jalan seumpama berkat tahajud satu pertiga malam yang dibayar tunai oleh Tuhan untuk golongan ini.

Saya memberanikan diri menegur seorang wanita, usianya awal 40 tahun, bersandar di tiang bersama seorang anak lelaki dalam lingkungan lima tahun.

Soalan 'sudah makan atau belum?' saya kira pembuka perbualan yang membosankan namun berkesan. Dua bungkus nasi berlauk ayam goreng menjadi pendorong untuknya meneruskan bicara.

Namanya Sha, saya tidak tahu nama penuhnya Sha apa, Shamin, Shakila, Misya atau apa sahaja yang terlintas di fikiran bukanlah isu penting untuk ditanya lanjut.

Katanya, dia sudah empat bulan menjadi gelandangan. Bukan kemahuannya untuk menjadi begitu tetapi kesempitan hidup menjadikannya mahu berhijrah ke ibu kota untuk mencari rezeki.

"Sha ibu tunggal, ada lagi tiga anak yang sudah bersekolah tetapi terpaksa dihantar ke Rumah Kebajikan Masyarakat. Siang-siang Sha jadi tukang cuci sambilan di restoran di sini dengan gaji 25 ringgit dan diberi makan percuma.

"Pening kalau difikirkan. Hendak sewa bilik pun Sha tidak mampu. Anak dibawa sekali semasa waktu kerja dan kadang-kadang majikan juga tidak suka," ujarnya.


Kisah gelandangan
Golongan gelandangan secara tidak langsung menunjukkan betapa kota besar belum tentu menjanjikan peluang kehidupan yang diimpikan. - Foto ASTRO AWANI

Statistik DBKL

Statistik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap bilangan gelandangan yang semakin hari semakin bertambah seharusnya merisaukan semua.

Sepanjang tahun lepas, bancian seramai 2,000 gelandangan sekitar kota bukan sesuatu yang perlu dibanggakan.

Ia sebenarnya barah yang memberi makna jelas keperitan dan kesempitan kehidupan yang semakin hari semakin menghimpit.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengumumkan mahu DBKL membina pusat perlindungan gelandangan, saya sedar ia bukan penyelesaian terbaik bagi masalah berkenaan kerana jumlah gelandangan yang ada tidak akan mampu menampung penawaran 'lot' di pusat perlindungan berkenaan.

Bunyi batuk 'jiran' Sha di tiang sebelah mengejutkan anaknya. Saya bukan seorang doktor namun tahu batuk itu bukan batuk sembarangan, ia batuk akibat kesejukan atau mungkin ada penyakit. Bunyi dengkur? Jangan haraplah.

"Ramai gelandangan di sini memang mengharap ada nasi bungkus dihantar setiap malam tetapi biasanya ada pada malam minggu sahaja. Malam-malam biasa, pandai-pandailah.

"Jangan ingat Sha mengemis. Sha pantang minta duit orang. Sha mahu nasi bungkus dibeli dengan gaji kerja dan kalau diizinkan Tuhan satu hari nanti dengan tambahan rezeki, Sha pasti akan menyewa bilik," katanya perlahan sambil menepuk belakang anak untuk menidurkannya semula.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan pihaknya yang menghalang pemberian bantuan makanan kepada golongan gelandangan di pusat bandar bukan menggambarkan kerajaan bersikap kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Kata Ku Nan, ia sebagai langkah membantu golongan gelandangan dan pengemis memperoleh kehidupan lebih baik.

Ku Nan turut memberitahu, pihaknya bersama DBKL akan mengenal pasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO dapat meneruskan aktiviti sukarelawan serta menderma makanan kepada golongan ini.

Menurutnya, usaha berkenaan juga mampu mengurangkan masalah kekotoran yang akan timbul akibat pembuangan sampah oleh golongan berkenaan di mana pemilihan lokasi ini juga mengambil kira aspek kesampaian yang mudah kepada golongan gelandangan ini.

“Sehingga kini, DBKL mengenal pasti 12 NGO yang aktif beri makanan kepada golongan gelandangan ini mengikut hari dan waktu serta lokasi popular pengagihan makanan seperti Pasar Seni; Dataran Kota Raya; Stesen Bas Klang, Masjid India; Masjid Negara; Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee; Kota Raya; Pudu Sentral; dan Swiss Garden Hotel, Jalan Pudu," katanya ketika dipetik dari satu laporan portal.

Terpaksa 'jual tubuh'

Saya terkejut apabila diberitahu ada juga gelandangan yang terpaksa menjual tubuh demi menyara kehidupan.

Namun kata Sha, persepsi semua gelandangan wanita yang mencari rezeki dengan cara tidak halal itu harus dibuang.

"Sha bercerita sahaja, ada yang melakukan perkara itu kerana terpaksa dan mencari duit untuk makan. Jika fikir semua gelandangan sama, itu sesuatu yang sangat buruk.

"Tolong hormat gelandangan lain. Ramai daripada kami yang bekerja pada waktu siang atau malam, cuma tidak mampu untuk menyewa bilik sahaja," jelasnya.

Katanya lagi, dia sudah cuba untuk meminta belas untuk tinggal di Anjung Singgah, sekurang-kurangnya ada tempat berteduh namun hampa kerana dimaklumkan sudah penuh.

Saya difahamkan melalui sebuah portal, sejak April 2011, 6 peratus daripada 2,008 orang mendaftar di 4 pusat khidmat bantuan sosial iaitu 1,237 orang di Kuala Lumpur, 312 orang di Sarawak, 400 orang di Johor dan 59 orang di Pulau Pinang telah berjaya mendapatkan pekerjaan.

Selain itu, portal itu menyatakan, Anjung Singgah turut menyediakan sesi kaunseling kepada golongan tersebut dan membantu mereka mencari kerja yang sesuai atau menggalakkan mereka berniaga secara kecil-kecilan setelah berdaftar dengan Anjung Singgah.

Saya teruskan perbualan. Bertanya itu dan ini sehingga Sha tidak dapat lagi menyembunyikan rasa mengantuknya.

Saya tahu itu isyarat untuk meninggalkan Sha di 'bilik tidur' terbukanya. Sebelum beredar, saya menyeluk poket dan menghulukan beberapa keping wang kertas, niat ikhlas untuknya membeli makan malam pada keesokan hari.

Dalam perjalanan pulang, saya sedar kisah Sha hanyalah satu huruf dari berjela-jela perenggan kesusahan dan air mata gelandangan di ibu kota.

Kisah orang gelandangan
'Berkatilkan' lantai dan 'bertilamkan' kotak, tiada siapa dapat menafsir mimpinya. Bagaimana dan di manakah kita semua tidur malam ini? - Foto Bernama