Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, lanjutan tempoh berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan memerangani COVID-19 dan pada masa mengelak penularannya dalam kalangan masyarakat.
"Sehubungan itu, berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar-pakar perubatan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April 2020.
"Pelanjutan tempoh ini dibuat untuk memberi ruang kepada petugaspetugas kesihatan memerangi penularan COVID-19, selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat," "katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Jumaat.
Tindakan itu katanya selaras dengan pandangan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menyarankan negara-negara supaya tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal.
"Sepertimana yang berlaku di beberapa buah negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan. Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama.
"Ianya mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus," ujar beliau.
Muhyiddin berkata, susulan itu, kehidupan setiap masyarakat mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala ketika ini.
"Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga
kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak. Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi.
Kita tidak boleh ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi berterawih lah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa. Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi," kata beliau lagi.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan fasa pertama PKP bermula dari 18 hingga 31 Mac, diikuti dengan fasa kedua dari 1 April hingga 14 April.