Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengisytiharkan kluster Alam sebagai kluster terbaharu COVID-19 di negeri itu.

Ia selepas kluster ini merekodkan empat kes positif COVID-19 terbaharu di Bintulu menjadikan jumlah kes positif di sana meningkat kepada 686 kes setakat ini.

Pertambahan satu kluster ini menyaksikan Sarawak kini merekodkan tujuh kluster aktif COVID-19 setakat hari ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, keempat-empat kes ini melibatkan dua warga tempatan manakala dua kes lagi warganegara Filipina dan India.

Kesemua kes terbaharu ini merupakan krew kapal yang berlabuh di perairan Bintulu yang baru tiba dari Pelabuhan Toyoma Shinko, Jepun.

“Kes-kes ini telah dibenarkan untuk meninggalkan kapal kerana mengalami tanda dan gejala awal COVID-19.

“Lima krew telah dibawa turun dari kapal dan dimasukkan ke wad isolasi, Hospital Bintulu untuk rawatan dan siasatan lanjut dan hasil saringan yang dijalankan pada 18 Ogos 2020 mendapati empat daripada mereka positif COVID-19 pada 20 Ogos 2020,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan sama, kapal itu merupakan sebuah kapal tangki minyak yang berdaftar di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Sejarah pelayaran kapal menunjukkan kapal ini pernah singgah di Pelabuhan Toyama Shinko pada 27 Julai hingga 1 Ogos 2020 sebelum singgah di Pelabuhan Labuan pada 10 Ogos 2020.

“Semasa dalam perjalanan ke perairan Bintulu, kapten kapal telah memaklumkan kepada agen kapal terdapat dua anak kapal yang sakit dan memerlukan rawatan di hospital,” tambah kenyataan sama.

Justeru, saringan ke atas baki 22 krew kapal akan dilakukan dalam masa terdekat termasuk saringan ke atas semua kontak yang berisiko dijangkiti semasa proses membawa turun kes-kes dari kapal tersebut sehingga ke hospital.


Siasatan awal menunjukkan kluster ini berpunca dari jangkitan luar negara dan ia berkemungkinan dibawa oleh krew yang mendaftar masuk ke atas kapal semasa kapal melakukan persinggahan di pelabuhan antarabangsa.

Siasatan lanjut ke atas kluster ini masih dilakukan dan pengesanan serta saringan ke atas semua kontak sedang giat dijalankan.