TERDAPAT laporan berita dalam sebuah akhbar baru-baru ini dengan tajuk "Bukan mati lemas tetapi CPR".

Pihak Persatuan Resusitasi Malaysia (MyRES) bersimpati atas tragedi tersebut dan berharap keluarga mangsa diberi kesabaran dan ketabahan di atas musibah yang menimpa.

Tajuk laporan sebegini boleh menimbulkan kekhuatiran di kalangan masyarakat untuk memulakan CPR kepada mangsa yang memerlukannya dan pihak MyRES memandang serius perkara ini.

Laporan sedemikian boleh disalah tafsir dan menyebabkan masyarakat memberi persepsi negatif terhadap respons CPR.

Pihak MyRES ingin membetulkan tanggapan masyarakat kerana penularan maklumat yang tidak tepat akan menyebabkan mangsa yang memerlukan CPR mungkin tidak diberikan perawatan sewajarnya.

Oleh yang demikian, peluang mangsa untuk hidup menjadi amat tipis.

Sekiranya CPR tidak dimulakan awal, sel-sel otak akan mulai mati dalam masa empat minit.

Dalam situasi lemas di mana mangsa didapati tidak bernafas, memulakan CPR adalah satu tindakan yang betul.

Ia adalah satu tindakan yang bertepatan dengan keperluan mangsa pada masa tersebut.

Dalam kes ini, tindakan CPR mungkin telah memberikan peluang untuk kanak-kanak tersebut diselamatkan kerana tindakan ini akan membolehkan mangsa kembali bernafas.

Tindakan selanjutnya adalah rawatan lanjutan di hospital.

Ingin dijelaskan bahawa dalam melakukan CPR, beberapa komplikasi mungkin boleh berlaku, namun begitu, kajian serta data saintifik menunjukkan insiden sedemikian amat jarang sekali.

Jikapun berlaku, ia adalah komplikasi yang boleh dirawat setelah pesakit kembali bernafas. Sekiranya tiada CPR dimulakan, pesakit akan pasti meninggal dunia dan tiada rawatan susulan yang dapat menyelamat nyawanya.

Adakalanya tindakan CPR ini berjaya dan adakalanya tidak, dan ini semua bergantung kepada pelbagai faktor; antaranya berapa teruknya kesan tiada oksigen ke otak dan punca sebenar yang menyebabkan mangsa berhenti bernafas atau mengalami kegagalan jantung.

Yang penting tindakan memulakan CPR adalah respons yang perlu untuk menyelamatkan mangsa.

Pihak MyRES berharap masyarakat tidak teragak-agak untuk memulakan CPR bagi mangsa yang memerlukan dan terus melakukan CPR sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.

Dalam situasi sebegini panggilan kecemasan 999 perlu segera dilakukan dan petugas dari Pusat Panggilan Kecemasan 999 akan membantu perawat dengan memberikan panduan membuat CPR sementara menunggu pasukan penyelamat sampai.

CPR adalah amat penting untuk dimulakan segera bagi pesakit yang ‘tumbang’ dan berhenti bernafas kerana kelewatan atau tiada CPR bererti mati yang pasti dan mangsa hilang semua peluang untuk diselamatkan.

Semoga masyarakat dapat memainkan peranan mereka dengan memberikan respons CPR yang baik dan bijak membuat keputusan untuk menyelamatkan nyawa.


- Persatuan Resusitasi Malaysia


* Persatuan Resusitasi Malaysia (Malaysian Resuscitation Association, MyRES) ialah gabungan organisasi serta persatuan yang aktif menjalankan aktiviti pengajaran CPR dan resusitasi di seluruh Malaysia.

** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan MyRES dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.