Barisan peguambela Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong telah membuat representasi kepada Peguam Negara, agar menarik balik pertuduhan terhadap exco itu.

Salinan representasi itu telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes tersebut di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Jurucakap pihak pembelaan, Ram Karpal Singh berkata, antara alasan representasi itu ialah terdapat dakwaan yang telah dibuat melalui laporan polis oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pada Khamis malam.

“Kami berpendapat bahawa ini adalah satu perkara yang serius dan relevan kepada kes (YB) Paul di mahkamah hari ini dan perlu disiasat dengan secara mendalam.

BACA: 'Saya tidak akan bercuti, saya bukan penjenayah' - Exco Perak


“Dakwaan itu dibuat malam tadi, lebih kurang jam 10 atau 11. Adalah mustahil untuk pihak Peguam Negara membuat siasatan terhadap dakwaan itu sebelum prosiding pagi ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah hari ini.

Pada Khamis, Koo Ham membuat laporan mengenai dakwaan kononnya individu yang membawa mangsa membuat laporan polis menerima RM100,000 di samping diugut dengan pistol supaya tidak membocorkan perkara itu.

Terdahulu, Choo Kiong, 49 tahun, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, bulan lalu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini bagi pengurusan kes.