Perdana Menteri berkata wujud penyokong-penyokong Datuk Seri Najib Razak yang masih mempertahankan bekas perdana menteri itu meskipun pendedahan demi pendedahan telah dibuat.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Singapura baru-baru ini telah memulangkan wang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri dan cuba dibersihkan dengan membeli harta mewah di negara-negara berkenaan.

“Satu soalan yang mungkin perlu mereka (penyokong Najib) tanya kepada diri mereka ialah, dari mana datang wang yang sebegitu banyak yang dipulangkan oleh Kerajaan AS dan Singapura.

“Bagaimanakah, beg-beg mewah, barang kemas dan wang tunai berjuta yang telah dikenali sebagai milik (Datuk Seri) Rosmah Mansor didapati di flat milik Rosmah?” katanya ketika menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Jelas Dr Mahathir, Ahli Parlimen Pekan itu dan rakan-rakannya masih mempertikaikan berlakunya salah guna kuasa, rasuah dan penipuan di bawah pentadbiran terdahulu.

“Kerana tidak dapat membukti kebenaran mereka, mereka beralih kepada memburukkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan menuduh kononnya PH tidak mendaulatkan Islam dan Perlembagaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri yang pernah memegang jawatan itu sebanyak dua kali berkata, mandat yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia pada 9 Mei tahun lalu telah digunakan oleh kerajaan PH untuk memulakan langkah-langkah memulihkan semula negara.



Katanya, langkah tersebut antaranya termasuk menyiasat skandal 1MDB dan berusaha untuk memperoleh kembali wang dicuri.

“Langkah-langkah awal yang diambil ialah menyiasat skandal 1MDB dan berusaha untuk memperoleh kembali wang yang dicuri; menguatkuasakan undang-undang dengan mendakwa mereka yang menyalahguna kuasa, melesapkan duit Kerajaan dan menekan rakyat.

“Bekas perdana menteri dan rakan-rakannya dipertuduh dalam mahkamah,” ujar Dr Mahathir.



Susulan beberapa institusi seperti Lembaga Tabung Haji telah terjejas akibat pentadbiran terdahulu, Dr Mahathir berkata satu badan pencegah rasuah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional telah ditubuhkan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut diperkuat. Selain itu, kerajaan memperkenal Pelan Anti-Rasuah Nasional.

"Kerajaan juga mengkaji semula projek-projek mega, termasuk Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), yang mana harga projek tersebut melampaui nilaian sepatutnya,” katanya.