Kira-kira 700 penduduk di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling, Pahang bergantung kepada Sungai Tembeling sebagai laluan pengangkutan utama bagi menghubungkan mereka dengan dunia luar.

Namun berikutan paras air sungai yang semakin tohor, laluan itu kini hampir lumpuh.

Menurut pengusaha bot di Kampung Bantal, Hamizun Loai, 40, untuk ke kampung berkenaan mengambil masa lebih empat jam perjalanan menggunakan bot, bergantung kepada paras air sungai.

"Kalau air tidak cetek, perjalanan tidak jauh sebenarnya mungkin jalan dua hingga tiga jam sahaja. Tetapi sekarang ia mengambil masa empat hingga lima jam dari sini ke Taman Negara, Kuala Tahan," katanya.

Bagaimanapun, kini laluan sungai hampir mustahil digunakan, menyebabkan penduduk bagaikan terasing daripada dunia luar.

Kini laluan sungai hampir mustahil digunakan menyebabkan penduduk bagaikan terasing daripada dunia luar. - Foto Astro AWANI
"Sebelum ini ada kecetekan yang pernah berlaku pada sungai tetapi bukan sebegini cetek. Walaupun dia cetek tetapi kita masih boleh beroperasi bot untuk kemudahan penduduk.

"Apa yang menjadi masalah di sini adalah kita tidak ada perhubungan lain selain bot. Bot adalah salah satu sumber pengangkutan utama menghubungkan dari Kampung Bantal ke bandar Jerantut," katanya.

Pengusaha bot juga terkesan akibat bot yang sering tersangkut di dasar sungai sekali gus menyebabkan kipas bot rosak.

Kini, kegunaan utama bot hanya untuk menghantar penduduk ke seberang sungai.

Malah disebabkan air sungai yang cetek, mereka hanya sekadar perlu berjalan kaki menyeberangi sungai.

Disebabkan air sungai yang cetek, mereka hanya sekadar perlu berjalan kaki menyeberangi sungai. - Foto Astro AWANI
Menurut penduduk, Narun Abdullah, untuk ke pekan terdekat mereka terpaksa bergantung kepada jalan alternatif, iaitu jalan balak.

Namun disebabkan keadaan permukaan jalan yang tidak rata dan mencabar, ia memerlukan kenderaan pacuan empat roda.

Disebabkan ramai penduduk yang tidak mampu memiliki kenderaan sedemikian, mereka terpaksa menumpang kenderaan milik pengusaha balak yang memerlukan sewa yang mahal.

"Ada tokeh yang boleh kita tumpang, kita terpaksa guna Hilux tokeh itu sendiri. Bayar sewalah dalam RM70 sekali. Itulah sumber yang kita sekarang iaitu menggunakan laluan balak yang ada," katanya.

Kampung Bantal adalah antara 10 buah perkampungan kecil dalam Kampung Mat Daling yang terletak dalam mukim Ulu Tembeling.


Tinjauan Astro AWANI mendapati buat masa ini, jalan tar hanya menghubungi Kuala Tahan ke Kampung Pagi sahaja.

Ia dikatakan mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk siap sepenuhnya.

Sementara itu, projek pembinaan jalan raya dari Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling pula masih sedang giat dilaksanakan.

Menyusuri Sungai Tembeling, penulis tertanya-tanya apakah nasib penduduk jika berdepan situasi mencemaskan seperti sakit atau ingin bersalin?

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Ini adalah siri keempat laporan khas "Kerakusan manusia musnahkan Sungai Tembeling."

**Ikuti siri terakhir laporan ini mengenai kesan sungai cetetk kepada pengusaha sangkar ikan.