Jika sehari dua tidak bertemu yang tersayang sudah terasa rindunya, bayangkan bagaimana menjalani kehidupan selama setahun tanpa insan tercinta.
Jangan ditanya tentang kekuatan emosi, jangan diungkit mengenai kesusahan yang ditanggung Nur Laila Ngah, isteri pramugara kanan pesawat MH370, Wan Swaid Wan Ismail, sejak setahun selepas 8 Mac 2014.
Bagi Farah Fazulah Abdullah, anak saudara Wan Swaid, ibu saudaranya itu tampak begitu tabah ketika berdepan dugaan ini.
"Memang terlalu sedih, selepas kerajaan umumkan kehilangan MH370, pada waktu itu juga kita satu keluarga sedar perlunya memberi apa saja sokongan kepada Aunt Laila.
"Uncle (Wan Swaid) adalah orang pertama yang akan hadir dalam setiap majlis dianjur saudara mara; ketiadaannya benar-benar satu kehilangan besar.
"Paling sedih apabila Hari Raya Aidilfitri lepas. Aunt Laila tanya, jika benar Uncle sudah tidak ada lagi, di mana hendak kita ziarah kuburnya," katanya.
Tambah Farah, sehingga kini Laila disifatkan begitu tabah dalam menempuh hari-harinya membesarkan ketiga-tiga anaknya yang masih kecil.
"Tidak dapat dibayangkan sebenarnya tentang perasaan rindu Aunt Laila apabila tiada Uncle. Nampak
kerinduannya memuncak apabila tiba hari-hari istimewa mereka berdua - pada hari jadi, pada hari anaknya hendak mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
"Saya tahu, Aunt terasa sangat ketiadaan Uncle pada waktu itu," kata Farah.
Katanya lagi, kerinduan Laila semakin memuncak apabila dia melalui lokasi yang pernah menjadi kenangan bersama Wan Swaid.
"Kalau Aunt tengah jalan, dia akan tunjuk, itu restoran kesukaan Uncle. Sehingga hari ini, dia tidak akan lupa apa yang dipesan Uncle setiap kali di restoran berkenaan.
"Jika di rumah, Aunt akan tunjuk seragam Uncle bekerja. Aunt juga kerap mengulang dan teringat tentang masa untuk Uncle tengok berita dan anak-anaknya menonton kartun.
"Kehadiran Uncle masih dirasai, tidak semudah itu untuk dilupakan. Uncle adalah cinta hidup aunt," ujarnya sayu.
Farah dan Wan Imran memahami penderitaan yang dialami ibu saudara mereka yang begitu tabah menghadapi detik-detik kehilangan suaminya sejak 8 Mac 2014. -Gambar Astro AWANI
Wan Swaid sebahagian hidup Laila
Kata Farah lagi, ibu saudaranya amat merindui kehadiran Wan Swaid, namun dia harus meneruskan hidup biarpun berdepan laluan sukar.
"Aunt selalu cakap Uncle adalah sebahagian daripada dirinya dan cinta hatinya. Jadi bayangkan bagaimana kehidupan Aunt diteruskan tanpa Uncle, namun kehidupan tetap perlu diteruskan.
"Ia bukan mudah, kekurangan maklumat kini sangat tidak membantu, Aunt kata sekarang ini kalau dapat jumpa Uncle di dalam mimpi pun sudah cukup menggembirakan hatinya," jelasnya.
Farah turut menjelaskan, ketabahan ketiga-tiga anak Wan Swaid yang ditunjukkan sejak kehilangan ayahnya benar-benar mengagumkan.
"Pada mulanya, anak-anaknya ingat Daddy mereka 'terbang' namun akhirnya mereka menyedari mula apa yang berlaku.
"Banyak perkara yang membuatkan mereka menangis apabila teringat ayahnya tetapi semua anak-anak Uncle kuat dalam menempuh dugaan ini," katanya.
Kini ujar Farah, walaupun tanda tanya persoalan MH370 masih belum terungkai, harapan ia segera selesai tetap tersemat di hati setiap ahli keluarganya.
"Kita tidak tahu hendak panggil Uncle apa sekarang, kalau hendak panggil arwah pun tidak boleh kerana tidak tahu apa statusnya.
"Semua sudah penat menangis, kini semua menanti dan terus menanti satu jawapan yang entah bila akan diperoleh," jelasnya.
Legasi tinggalan Wan Swaid
Sementara itu, bagi Wan Imran Wan Abdul Rahaman, bapa saudaranya itu disifatkan sangat rapat dengannya sejak kecil.
"Dia seorang yang 'cool'. Saya banyak belajar dengannya selain banyak pengaruhnya dalam kehidupan ini.
"Uncle tidak pernah marah tetapi cara dia mengawal keadaan dan situasi benar-benar mengagumkan," katanya.
Jelasnya, legasi bapa saudaranya yang tidak terlepas untuk menghadiri setiap majlis sanak saudara akan diingati sampai bila-bila.
"Apa yang ditinggalkan adalah legasi yang harus diteruskan. Uncle sentiasa berada di samping keluarga. Dia tidak akan lepas untuk ke kenduri saudara mara jika tidak bertugas, dia sangat rapat dengan semua orang.
"Di mana sahaja Uncle berada, kita harap Uncle tenang. Kita hendak buat apa pun tidak boleh, kita sembahyang, berdoa dan hari-hari berharap Uncle akan kembali. Sembahyang dan berdoa pada Allah adalah kekuatan keluarga ini sekarang," ujarnya.
Ketika ditanya apakah perkataan yang selalu diucap Wan Swaid dan tidak dapat dilupakannya sehingga kini, Wan Imran berkata: "Guano (Apa khabar), itu perkataan yang tidak dapat saya lupakan dan selalu diucap Uncle setiap kali kami berjumpa."
Wan Swaid merupakan anak bongsu daripad 10 adik beradik. Berasal dari Pasir Mas, Kelantan, bapa kepada tiga orang anak ini telah berkhidmat sebagai pramugara dengan MAS sejak 1995.
Wan Swaid bertugas sebagai pramugara kanan di dalam pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac tahun lepas.