PENULARAN wabak COVID-19 sejak bulan Mac yang lalu telah menimbulkan banyak tanda soal bagi pelajar-pelajar luar negara yang masih mempunyai kelas dan ujian akhir semester yang akan menjelang tidak lama lagi.

Majlis Perwakilan Pelajar UK dan Ireland ataupun United Kingdom and Eire Council (UKEC) acapkali dibelenggu soalan-soalan yang sukar untuk dijawab daripada para pelajar dan ibu bapa mereka sejak kebelakangan ini.

“Adakah keadaannya cukup selamat untuk terus menetap di UK & Ireland?”

“Mengapakah harga tiket untuk pulang 50-100 peratus lebih mahal daripada harga biasa?”

“Adakah NHS, sistem penjagaan kesihatan UK, mampu untuk membasmi wabak penyakit COVID-19 ini?”

“Benarkah kerajaan UK akan mengumumkan total lockdown dalam masa yang terdekat ini?”

Dalam saat-saat yang genting ini, UKEC hanya mampu untuk menasihati para pelajar agar bertenang dan tidak bertindak secara panik dalam membuat segala keputusan.

Rujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Education Malaysia London dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia London sebagai garis panduan.

Walaupun terdapat banyak nasihat yang berkontradiksi di luar sana, kami ingin menyeru semua pelajar untuk kekal di UK seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Nasihat kami adalah sedemikian kerana kedutaan Malaysia di seantero dunia termasuk Suruhanjaya Tinggi Malaysia London telah pun memberikan jaminan bahawa bantuan akan dihulurkan dengan segera sekiranya para pelajar mengalami sebarang kesulitan untuk kekal berada di luar negara.

Her Majesty’s Government UK (HMGUK) juga telah mengeluarkan kenyataan menasihati para pelajar universiti di UK dan Ireland untuk kekal di tempat tinggal masing-masing bagi membantu membasmi wabak COVID-19 ini dengan lebih pantas.

Sehubungan itu, UKEC juga telah melancarkan pengutipan dana melalui ‘​crowdfunding page​’ baru-baru ini dengan jayanya (8750£) bersama beberapa persatuan pelajar yang lain bagi membantu pelajar-pelajar yang mempunyai masalah kewangan untuk menampung kos sara hidup di sana.

Bantuan tersebut hanya akan dihulurkan kepada 25 pelajar yang telah dikenal pasti melalui proses saringan bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan atas inisiatif ini.

Dana selebihnya akan diberikan kepada salah satu NGO di Malaysia yang sedang membantu keluarga B40 yang kehilangan mata pencarian disebabkan epidemik ini.

Walaupun sekilas pandang, amat mudah bagi rakyat Malaysia untuk mempunyai persepsi bahawa pelajar Malaysia di luar negara kebanyakannya datang daripada keluarga yang berada.

Namun, realitinya masih wujud sekumpulan kecil yang terpaksa berhempas pulas melakukan kerja sambilan demi menampung kos perbelanjaan yang tinggi seperti sewa rumah dan makanan.

Situasi ini menjadi lebih tegang apabila kebanyakan mereka yang terdiri daripada golongan tersebut tidak dapat bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung di UK dan Ireland.

Antara perkara yang bermain di minda pelajar ketika membuat keputusan sama ada mahu pulang ataupun tidak, termasuklah nasihat yang diberikan oleh universiti masing-masing untuk pulang ke tanah air.

Semua kelas dan ujian telah pun dipindahkan ke platform online dan tiada lagi urusan buat pelajar untuk kekal menetap di sana serta situasi COVID-19 di UK yang jauh lebih kritikal dan merisaukan berbanding Malaysia.

Kami menyeru semua pelajar yang masih berada di luar negara supaya bertenang dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan luar negara serta kedutaan Malaysia masing-masing demi kebaikan bersama.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.



Haris Danial Anwar ialah ahli Majlis Perwakilan Pelajar United Kingdom dan Eire Council (UKEC).

Artikel ini ditulis bersama dengan Abdul Hakim Manan, juga daripada Majlis Perwakilan Pelajar United Kingdom dan Eire Council (UKEC).

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI