Kejadian mengejutkan penduduk Kampung Jaya Baru, dekat sini, apabila dua remaja lelaki ditemui mati dalam sebuah Perodua Myvi, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.46 pagi itu, Mohd Fitri Haimin dan Mohd Helmi Muhammad, keduanya 19 tahun ditemui mati di kerusi hadapan kereta yang dipakir di tepi jalan raya kampung terbabit.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A. Sahak Rahmat berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan segera dikerahkan ke lokasi kejadian.


"Siasatan awal di tempat kejadian menjumpai sebuah kereta warna putih diletakkan di tepi jalan.

"Enjin kereta masih hidup dan terdapat dua lelaki di bangku hadapan dalam keadaan berbaring (tidur).

"Setelah diketuk cermin dan pintu kenderaan, kedua dua lelaki tersebut langsung tidak bergerak," katanya ketika dihubungi, malam ini.

BACA: Maut sesak nafas bakar arang dalam kereta

BACA: Mayat dua remaja ditemukan dalam kereta

Dua remaja berkenaan ditemui mati dalam kereta tersebut.

Beliau berkata, usaha membuka pintu gagal dan Bomba Kinabatangan kemudiannya membantu.

"Pintu kenderaan berjaya dibuka dan pemeriksaan awal tiada kecederaan luaran pada kedua-dua mereka.

"Mangsa telah disahkan mati di dalam kenderaan oleh pegawai perubatan Hospital Kinabatangan yang membuat pemeriksaan keatas kedua-dua mangsa yang masih berada di dalam kenderaan," katanya.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat yang akan dilakukan pada 9 pagi esok.