Bekas setiausaha dan bekas akauntan sebuah Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium di ibu negara, direman selama 7 hari bermula hari ini, berkaitan siasatan kes penyelewengan wang kira-kira RM1.5 juta daripada badan tersebut.

Kedua-dua suspek berusia 53 dan 27 tahun itu dipercayai telah melakukan penyelewengan tersebut sejak tahun 2010.

Bekas setiausaha itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur semalam pada pukul 10.30 pagi manakala seorang lagi ditahan di Sungai Petani, Kedah pada pukul 1.30 petang semalam.

Penyelewengan itu terbongkar apabila gaji kakitangan syarikat JMB yang menyelenggara lebih 500 unit kondominium tersebut tertunggak sejak Jun 2016.

Selain menjadi setiausaha JMB pada tahun 2012, suspek juga telah memegang jawatan pengurus besar sebuah syarikat bersekutu JMB sejak 2010.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.