Berjumpa pihak berkuasa sudah, mengadu sudah, namun aktiviti pembalakan tetap rancak dilakukan.

"Pilihan terakhir, Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja tempat kami bergantung harap untuk selamatkan kawasan ekopelancongan itu."

Itu rintihan penduduk Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang yang seakan tidak ada daya lagi mengekang aktiviti berkenaan daripada terus menjejaskan kehidupan seharian dan ekonomi mereka.

Mana tidaknya, hasil tinjauan Astro AWANI bersama penduduk mendapati, walaupun notis pemberhentian sementara kerja-kerja pembalakan berkuat kuasa 15 Ogos lalu, namun ia seakan tidak dipandang serius dan aktiviti berkenaan tetap diteruskan.

Dalam tempoh berkenaan, sepatutnya kerja-kerja pembersihan laluan ke projek pembinaan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilakukan, namun lain pula jadinya apabila didapati masih ada kerja-kerja pembalakan dikesan.

Notis itu menyusul selepas perjumpaan antara pihak penduduk Kampung Janda Baik, TNB dan ADUN Ketari Young Syefura Othman.

Penduduk kecewa notis pemberhentian kerja pembalakan diingkari

Kerja pembalakan masih rancak!

Belum sampai ke puncak bukit, kami sudah terserempak dengan jentera meratakan tanah dan jentera mengangkut kayu balak yang sepatutnya sudah tidak berada di kawasan itu apabila notis sudah dikeluarkan.

Sempat juga kami tanyakan kepada pengendali jentera berkenaan, seorang lelaki yang sudah berusia, kenapa tetap melakukan kerja pembalakan walaupun notis pemberhentian sementara telah dikeluarkan.

Kata lelaki itu mudah, dia tidak tahu apa-apa, dan majikannya tidak memberitahunya mengenai notis berkenaan.

Di raut wajah penduduk, jelas kecewa!

Menurut salah seorang penduduk yang juga pemilik Chalet Mama Papa di Janda Baik, Mohmad Yusabanan Yusoh, kali terakhir penduduk dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji masuk ke kawasan laluan pembalakan itu adalah pada 24 Julai lalu.

"Semasa tinjauan itu, hanya ada satu batang balak yang dipotong di sana, balak-balak ini tiada pun lagi, cuma pembinaan jalan sahaja. Namun, hari ini, maklumat yang kita dapat, kerja-kerja pembalakan ini sudah diberhentikan. Namun kita tengok masih ada pengeluaran (balak), banyak pula tu," katanya.

Justeru, TNB digesa mengemukakan surat hitam putih untuk menghentikan sementara projek berkenaan.

Kesan penerokaan tanah dan pembalakan yang didakwa berselindung di sebalik alasan membaik pulih laluan jalan yang membawa keluar pilon daripada projek pembinaan pencawang TNB.

"Kalau betul ada pemberhentian, keluarkan hitam putih yang mengatakan notis pemberhentian kerja. Kami menunggu kajian khusus di bawah sana tentang laluan TNB.

"Isu pembalakan sangat kita kesal. Laluan di sebelah bawah itu kita cadangkan pada 2016. Kita tidak nampak langsung ada usaha-usaha sehingga 2018.

"Tiada kajian khusus di sebelah bawah yang mengatakan TNB ada melihat laluan alternatif atau kedua ini adalah yang terbaik untuk diangkat.

"Sampailah dua hari lepas, pada 14 Ogos TNB mengatakan dia akan menilai semula laluan ini dan akan bawa kepada jemaah menteri untuk dapatkan kelulusan atau kajian khusus di pihak penilaian belah sana," katanya lagi.

Lebih dikesali, banyak anak-anak sungai dari Sungai Benus yang keruh, cetek dan kering kontang.

Setakat ini, 13 sungai terjejas berikutan aktiviti pembalakan yang berleluasa.

Laluan projek TNB didakwa memberi impak besar kepada sungai dan penduduk.

TNB dicadang tukar laluan projek

Susulan itu, penduduk mahu laluan ke projek pembinaan pencawang TNB diubah ke bawah iaitu alternatif kedua dicadangkan penduduk dan bukan lencongan yang didakwa banyak memberi kesan langsung kepada penduduk setempat.

"Laluan di sebelah bawah itu kita cadangkan pada 2016. Kita tidak nampak langsung ada usaha-usaha sehingga 2018 tiada kajian khusus di sebelah bawah yang mengatakan TNB ada melihat laluan alternatif atau kedua ini adalah yang terbaik untuk diangkat. Sampailah dua hari lepas, pada 14 Ogos TNB mengatakan dia akan menilai semula laluan ini dan akan bawa kepada jemaah menteri untuk dapatkan kelulusan atau kajian khusus di pihak penilaian belah sana diangkat," ujarnya.

Penduduk juga tidak mahu bencana banjir besar yang menimpa kawasan Lentang pada 2016 terjadi ke atas Janda Baik.

"Minta tolonglah jika pihak-pihak berkenaan, menteri dan pihak terlibat masuklah tengok sekali lagi. Minggu lepas sebelum buat townhall bersama TNB, tetapi apa yang dia lihat, apa yang dia nampak sebab menteri boleh masuk sampai tahap yang boleh kita masuk sahaja.

"Saya minta pihak berkenaan ambil tindakan bagi mengelak kesan kepada orang kampung yang lebih besar. Kita elakkan sebelum jadi monsun. Saya rasa dalam bulan 10 ini sudah bermula monsun sebab cuaca Janda baik ini Monsun Barat Daya kita kena, sebab kita berhampiran dengan Kuala Lumpur dan Selangor. Monsun Pantai Timur pun kita akan kena. Jadi yang itu yang kita kena tengok balik. Saya merayu supaya segera ambil tindakan," kata beliau lagi.

Mengulas lanjut, sehingga kini, lebih 3,000 orang telah menandatangani petisyen bagi menyelamatkan Janda Baik daripada terus digondol sejak dilancarkan pada Jumaat lepas.

Ketika ini, Sungai Benus adalah sungai utama yang menjadi bekalan air kepada penduduk Janda Baik.

Sungai Benus 'melompat' ke kelas paling kotor

Tidak terhenti di situ, kami panjangkan perkara ini kepada Pengarah Unit Persekitaran,Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Professor Dr Maketab Mohamed yang turut melakukan ujian tahap kualiti air Sungai Benus.

Jelas beliau, kesan pencemaran di hulu sungai yang menjadi lokasi pembalakan dan laluan keluar masuk pikualiti air Sungai Benus yang pada asalnya berada pada Kelas satu boleh naik ke Kelas lima , iaitu tahap sungai paling kotor.

"Apabila impak terjadi di hulu sungai, kalau ada hakisan, pergerakan batu dan semua akan menyebabkan anak-anak sungai itu akan tertimbus. Apabila hujan ia akan membawa pencemaran maka jumlah pepejal terampai turun ke sungai dan menyebabkan sungai sekarang kita lihat adalah kelas satu, ia boleh terus melompat menjadi kelas lima dalam standard sungai kebangsaan dan bagi saya itu impak yang sangat tinggi kepada sungai," tambahnya.

Malah katanya, kesan pembalakan di hulu sungai menyebabkan proses untuk memastikan sungai kekal pada Kelas satu akan memakan masa.

"Dalam keadaan biasa, kalau ada hujan lebat dari kelas satu, ia boleh jadi kelas tiga tetapi dalam masa sehari ia akan pulih semula. Kalau hujan di kawasan ini, mungkin ambil masa empat ke lima hari. Kalau hujan lagi lama, makin lama la nak jernihkan sungai ini," kata beliau.

Justeru, beliau senada dengan penduduk Kampung Janda Baik agar laluan projek pembinaan pencawang TNB itu dialihkan mengikut cadangan alternatif penduduk bagi mengurangkan impak langsung kepada Sungai Benus.

"Satu cadangan saya ialah jajaran ini kena tukar, bukannya di hulu sungai yang menyebabkan pencemaran yang tidak terhingga kepada sungai. Ini bukan benda baru. Kalau isu pembalakan, ada tanah disodok, pokok ditebang memang impak itu terjadi hanya impak itu kalau hujan lebat boleh menjejaskan kualiti air sungai," ujarnya.

Ia berikutan Sungai Benus akan menjadi tumpuan dan tarikan utama pelancong di Janda Baik.

"Kalau orang datang dan tengok sungai keruh, mereka tidak akan datang lagi. Jadi kalau sudah ada Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), sepatutnya isu ini ditangani. Maknanya kalau kajian itu menyebut akan menyebabkan masalah, kita kena fikirkan cara untuk mengurangkan impak terutama sosio-ekonomi orang setempat selain ekosistem sungai, habitat sungai. Kita kena fikirkan bagaimana nak mengurangkan masalah," tambahnya.

Malah, hasil tinjauan mendapati ramai pemilik chalet dan inap desa di Janda Baik mendedahkan ada pelancong yang membatalkan tempahan mereka kerana melihat keadaan sungai yang cetek dan tidak sama seperti yang mereka harapkan.

Apa nak dikata, kalau sebut Janda Baik sepatutnya sungailah daya penariknya!



Kini, sungai kita seumpama tiada lagi di Janda Baik ...