Empat pesakit yang disahkan positif koronavirus (2019-nCoV) dan kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB) berada dalam keadaan stabil.

Menurut Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit HSB, Dr C. Suresh Kumar, tiada rawatan khusus yang diberikan kepada pesakit setakat ini dan pesakit dirawat mengikut simptom yang ditunjukkan mereka.

“Dua kanak-kanak itu semakin sihat, ibu mereka masih demam, manakala seorang nenek juga masih demam.

"Kita hanya memberikan rawatan mengikut simptom mereka seperti demam, batuk dan sebagainya,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Kata Dr Suresh, dari segi pengendalian pesakit koronavirus, setiap pesakit akan diperiksa terlebih dahulu latar belakang dan sejarah penerbangan mereka sebelum ke langkah seterusnya iaitu mengambil sampel kahak pesakit untuk dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Keputusan ujian pengesanan yang dihantar ke IMR dapat diketahui dalam tempoh 24 jam, dan sekiranya ujian mengesahkan positif, kami akan teruskan dengan isolasi pesakit dan dipantau rapi,” katanya.

Pada masa sama, Dr Suresh memaklumkan langkah keselamatan sememangnya diambil dari awal oleh kakitangan hospital di Sungai Buloh, antaranya memakai pakaian khas ketika merawat pesakit dan bilik pengasingan yang sememangnya jauh dari pesakit lain.



Selain itu, katanya, pakar yang merawat pesakit suspek Novel Coronavirus ini adalah pasukan khas yang sudah biasa mengendalikan penyakit berjangkit sebelum ini seperti SARS dan MersCov.

Pada 25 Januari lalu, tiga kes pertama positif 2019-nCoV adalah wanita berusia 66 tahun dan dua cucunya berumur 11 dan 2 tahun.

Manakala pada 29 Januari, satu lagi kes positif koronavirus dicatatkan di Hospital Sungai Buloh, di mana mangsa merupakan menantu perempuan kepada mangsa pertama wanita berusia 66 tahun itu.

Mangsa dikatakan mengambil keputusan untuk menjaga kedua-dua anaknya yang menerima rawatan di wad pengasingan hospital berkenaan sebelum disahkan positif koronavirus.

Secara keseluruhan, tujuh kes positif dilaporkan di negara ini sejak 25 Januari lalu yang mana tiga lagi kes dirawat di wad pengasingan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, wad pengasingan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Hospital Bintulu, Sarawak.

Kesemua kes positif terdiri daripada warganegara China.