Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat maklumat baharu berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) antara tahun 2013 dan 2015.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad telah mengarahkan pasukan penyiasat untuk membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel tersebut.

Katanya, pasukan itu juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan pembelian hotel tersebut dan kini dalam proses menilai serta meneliti kesemua maklumat yang diperolehi.

"Menerusi maklumat siasatan awal yang diperolehi, FIC dipercayai telah membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

"Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenalpasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salahguna kuasa dalam proses pembelian hotel tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: FELDA akan jual aset untuk kukuhkan aliran tunai

Menurutnya, SPRM juga akan memanggil beberapa orang saksi penting dalam masa terdekat bagi tujuan merakam percakapan untuk mendapatkan maklumat serta bukti yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil.

Pada Disember 2014, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengumumkan FIC telah membeli sebuah hotel 4 bintang di kawasan mewah Kensington bernilai 60 juta pound.

Park City Hotel, dengan 62 bilik tetamu dan dua unit servis apartmen tiga bilik tidur itu, kemudiannya dinamakan semula sebagai Grand Plaza Hotel.

Katanya, hotel yang baharu dimiliki FIC itu juga mampu menjadi aset pelengkap kepada hotel milik Felda di Bayswater, satu lagi kawasan tumpuan rakyat Malaysia di London.

FIC sebelum itu telah membeli Grand Plaza Serviced Apartments di Bayswater pada harga 98 juta pound.

FIC, cabang pelaburan Felda, telah ditubuhkan pada tahun 2013, dengan memberi tumpuan kepada sektor hartanah, hospitaliti serta gas dan minyak.

Pada Mei 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low telah berkata, tidak wujud salah laku dalam kes pembelian dua hartanah mewah di London oleh FIC.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang bertanya di Dewan Rakyat status siasatan SPRM terhadap kedua-dua pembelian yang dibuat FIC itu.

Katanya, tidak ada kesalahan yang ditemui di bawah Akta SPRM 2009 sejak siasatan awal dijalankan.

"Jika mana-mana pihak mempunyai maklumat atau keterangan tambahan mengenai isu itu, ia boleh dikemukakan kepada SPRM untuk tindakan lanjut," tambahnya.