Mana-mana pihak tidak seharusnya bersikap celupar dan membuat tuduhan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa sebarang asas yang kukuh.

Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, memberi persepsi mengenai Dr Mahathir boleh memudaratkan Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhannya.

"Saya lihat tindakan mohon maaf Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid kepada Dr Mahathir secara terbuka adalah adalah perbuatan yang tepat serta harus diterima oleh semua pihak secara hati yang terbuka. Namun, di masa hadapan, Ahli Parlimen Kapar ini tidak harus bersikap celupar menuduh tanpa sebarang asas yang kukuh. Fikir dulu sebelum cakap apa sahaja tentang Dr Mahathir.

"Rakyat Malaysia sedang memerhati kerajaan PH dari jarak yang amat dekat. Kita tidak boleh kelihatan bercakaran sesama sendiri. Ini masa untuk semua pihak bekerja kuat ke arah membangunkan semula Malaysia secara satu pasukan.

"Abdullah Sani harus jadikan perbuatannya ini sebagai satu iktibar dan tidak harus berulang lagi. Saya amat terkejut melihat tindakan melulu Abdullah Sani membuat tuduhan palsu itu kerana beliau adalah seorang yang pernah memimpin kesatuan sekerja. Sepatutnya beliau bersikap matang, profesional serta lebih terbuka," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Tuduh Tun M lakukan konspirasi, Abdullah Sani mohon maaf

BACA:
Jangan pertikai keputusan Dr Mahathir lanjut perkhidmatan CEP - Khairuddin

Abdullah Sani sebelum ini mendakwa Dr Mahathir adalah antara mereka yang membuat keputusan untuk menghalang Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan negara.

Abdullah Sani turut mendakwa bahawa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin bersungguh-sungguh untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun pada Selasa, Abdullah Sani memohon maaf kepada Dr Mahathir atas tuduhannya terhadap Perdana Menteri.

Khairuddin dalam pada itu turut menghormati sikap berani Abdullah Sani membuat kenyataan memohon maaf berkenaan.

"Sekurang-kurangnya beliau berani mengakui kesilapanya itu. Itu pun cukup baik," jelasnya.

Khairuddin sebelum ini meminta Abdullah Sani memberi fokus kepada pembinaan semula negara dan tidak mengungkit mengenai tempoh masa penyerahan jawatan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir.