Sepanjang hujung minggu lalu, segelintir penonton dan pembaca Astro AWANI mengongsikan pelbagai gambar yang memaparkan pengguna lebuh raya memilih jalan mudah dengan menggunakan lorong-lorong kecemasan.

Meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PLUS Berhad mengeluarkan larangan memandu di lorong kecemasan namun masih ramai yang tidak mengendahkannya. Tindakan saman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa jika didapati bersalah.

Bagi membendung masalah ini, pegawai perhubungan awam Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Mohamad Sazali Baharudin berkata, orang awam boleh menyalurkan aduan berserta maklumat ke alamat emel aduan trafik JPJ di [email protected] tentang sebarang kesalahan berhubung penggunaan lorong kecemasan atau apa-apa kesalahan trafik.

Pengadu boleh menyertakan gambar-gambar kesalahan yang dilakukan sebagai bukti serta beberapa butiran maklumat seperti tarikh, masa, nombor pendaftaran kenderaan dan jenis kesalahan.

"Selepas aduan diterima, JPJ akan menjalankan siasatan dengan mengeluarkan Notis 114 iaitu notis temusiasat pada pemilik kenderaan untuk memberikan keterangan lanjut berhubung dengan kesalahan yang dilakukan," ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya didapati bersalah, Notis P22 iaitu notis saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan.

Pelbagai gambar dikirimkan pembaca astroawani.com yang memperlihatkan pengguna lebuh raya melakukan pelbagai kesalahan seperti menyalahgunakan lorong kecemasan, mengekori kenderaan lain terlalu rapat dan memotong barisan.

Lebih mendukacitakan, apabila ada pemandu bas ekspres turut mengambil jalan mudah dengan menggunakan lorong kecemasan.

Berikut merupakan rangkuman gambar kiriman pembaca Astro AWANI.

Kesalahan Lebuhraya 1
Foto kiriman Nazrul Shafiq

Kesalahan Lebuhraya 2
Foto kiriman Murshid Abdul Majid


 Kesalahan Lebuhraya 3
Foto kiriman Mohd Faris Hakimi
 Kesalahan Lebuhraya 4
Foto kiriman Kamal Iza

 Kesalahan Lebuhraya 5
Foto kiriman Seha Haris

 Kesalahan Lebuhraya 6
Foto kiriman Azwan Maasom