Jemaah haji Asia Tenggara termasuk Malaysia akan dibekalkan gelang tangan dengan kod bar bagi memudahkan pengecaman identiti.

Menurut Pengelola Haji Bagi Jemaah Asia Tenggara atau muassasah, ia sebagai langkah keselamatan jika berlaku kecemasan atau insiden yang tidak dijangka.

Ketuanya Sheikh Amin Indagiri, berkata selain gelang berkenaan, jumlah kamera litar tertutup (CCTV) akan ditambah dan dipertingkat di seluruh kawasan tumpuan jemaah haji Asia Tenggara.


Pihak muassasah juga menyediakan 15 kenderaan bagi memudahkan petugasnya membantu jemaah haji yang tersasar atau sesat, dengan tambahan 2 ambulans.

Penambahbaikan itu dilakukan hasil perbincangan dengan Tabung Haji dan pengalaman muassasah mengendalikan jemaah haji pada musim 2015.

Mengenai perjalanan jemaah haji, pihak muassasah akan memastikan jadual perjalanan jemaah haji di Arafah, Mudzalifah dan Mina terkawal.

Ia bagi menjamin tiada jemaah terlewat bila bergerak dari Mudzalifah ke Mina.

Sheikh Amin turut melahirkan rasa kagum dengan jemaah haji Malaysia yang disifatkannya jemaah terbaik kerana dilengkapkan dengan pengetahuan ibadah haji oleh Tabung Haji.

Atas faktor itu, pihak muassasah berharap Tabung Haji boleh menjadi contoh kepada negara lain dalam memastikan jemaah masing-masing memahami perjalanan ibadah haji secara menyeluruh.