Gesekan biola Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang ditujukan khas oleh isteri Perdana Menteri itu buat anggota bomba yang terkorban semasa bertugas, Muhammad Adib Mohd Kassim, ternyata memukau para penonton konsert "Duo Lagenda" di Istana Budaya di sini malam ini.

Sebelum memulakannya, beliau menarik perhatian pada hadirin dengan merujuk kepada majlis perkahwinan Muhammad Adib yang telah ditakdirkan tidak berlangsung.

"Hari ini pastinya ada satu majlis perkahwinan di sebuah kampung di Kuala Kedah. Tapi hajat tidak kesampaian kerana pengantin lelaki pergi menghadap Allah. Semoga mereka semua (keluarga) dalam keadaan sihat sejahtera dan reda dengan aturan Allah," kata isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Para hadirin yang jelas tersentuh dengan suasana malam itu, kemudiannya memberikan penghormatan dengan beramai-ramai berdiri di akhir persembahan kira-kira 20 minit itu.

Muhammad Adib, 24, yang tercedera akibat oleh perusuh semasa beliau hendak melaksanakan tugas memadam kebakaran semasa kejadian rusuhan di kuil di Subang Jaya pada 27 Nov itu, meninggal dunia di Institut Jantung negara pada 17 Dis.

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali membuat penampilan istimewa dengan mempamerkan kebolehan menggesek biola mengiringi persembahan Raja Pop Datuk Jamal Abdillah (kiri) dan Datuk M Nasir (kanan) pada Konsert Duo Lagenda. - Foto BERNAMA

Memulakan persembahan pada pukul 10.40 malam, Dr Siti Hasmah tampak profesional menggesek biola untuk lagu Fatwa Pujangga secara solo menerusi segmen khas di pertengahan konsert itu, sebagai persembahan iringan kepada penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir.

Beliau turut menggesek biola bagi lagu Engkau Laksana Bulan dan Gubahanku sambil dinyanyikan secara duet oleh Jamal dan M. Nasir.

Dr Siti Hasmah mendahului persembahannya dengan memohon penonton menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Adib.

Persembahan Dr Siti Hasmah berlangsung sempena malam VVIP konsert itu, bertujuan mengumpul dana bagi mengisi Tabung Kasih Malaysia yang dilancarkan Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia).

Dalam konsert itu, Jamal dan M.Nasir mendendangkan seleksi lagu popular mereka antaranya Cinta dan Tangis, Bicara Cinta, Aku Penghibur, Kau Lupa Janji, Terharu, Cenderawasih, Gadis Melayu, Hati Emas, Hijab Kekasih, Mustika, Apokalips, Gerhana serta Keronchong Untuk Ana, dan mereka turut berduet menyanyikan beberapa lagi lagu termasuk Ghazal Untuk Rabiah.

Konsert yang bermula 20 Dis dan berakhir esok itu turut menampilkan penyanyi undangan dari Australia, Cassidy Anderson.

Turut hadir menyaksikan konsert itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi dan Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

-- BERNAMA