PENGGUNAAN 'Google Translate' untuk menterjemahkan sesuatu dokumen dari satu bahasa ke bahasa lain mungkin mampu mempercepatkan urusan penterjemahan terutama bagi pengguna-pengguna internet yang kesuntukan masa, punya sikap sambil lewa dan tidak mempedulikan ketepatan hasil terjemahan yang diberikan.

Akibatnya, hasil-hasil kerja pengguna yang hanya bergantung harap pada 'Google Translate' akan mencerminkan keupayaan bahasa mereka yang sangat lemah kerana mereka tidak mampu mengenal pasti kesalahan-kesalahan yang tidak sepatutnya mereka lakukan.

Untuk mereka yang bekerja dan 'berani' mempamerkan hasil kerja ke khalayak ramai, tentunya tindakan yang memalukan ini akan mendatangkan kemarahan pihak atasan.

Berikutan kesalahan terjemahan pada notis bahasa Inggeris di Pusat Pelancongan Perak, tindakan Menteri Besar Perak yang memandang serius akan kecuaian dan kesalahan ini wajar diberi pujian.

Ini adalah kerana notis terbabit secara logiknya akan dibaca oleh pelancong-pelancong luar tetapi ia sangat memalukan kerana isi kandungannya mungkin tidak dapat difahami berikutan kesalahan terjemahannya yang sangat dasyat.

Isu ini harus ditangani segera sebelum ia menjadi ikutan orang ramai terutamanya mereka yang malas dan sentiasa bersikap sambil lewa.

Dalam era teknologi pintar dan mudah alih pada hari ini, 'Google Translate' atau aplikasi mudah alih yang membantu urusan penterjemahan mungkin mampu menyenangkan tetapi pengguna perlu bijak dalam memilih perkataan-perkataan yang dicadangkan kerana penggunaan perkataan sering kali berubah mengikut konteks penggunaan.

Penyelesaian terbaik ialah perbincangan dengan pakar-pakar bahasa, penggunaan Kamus Dewan Bahasa, dan perbincangan dengan orang yang lebih berpengalaman.

________________________________________________________________________________

* Artikel ini ditulis oleh Dr Nurhasmiza Abu Hasan Sazalli, Pensyarah Kanan dari Akademi Bahasa, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.