Saranan itu disuarakan beberapa pemandu untuk syarikat itu yang risau dengan keselamatan mereka lebih-lebih lagi susulan insiden bunuh melibatkan rakan pemandu sepertimana yang dilaporkan media pada Sabtu.
Menurut seorang pemandu Grab, Amer Mohammad, 38, maklumat pendaftaran yang terlalu ringkas dan tidak tepat daripada penumpang tidak dapat membantu sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Pemandu perlu menyerahkan semua maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan lesen memandu yang sah. Tetapi penumpang yang lebih dikenali dengan terma ‘rider’ hanya perlu mendaftarkan diri menggunakan alamat emel dan nombor telefon.
“Maklumat tidak rasmi ini tidak berguna sekiranya kejadian yang tidak diingini berlaku. Saya mencadangkan agar pengguna mendaftarkan diri mereka menggunakan maklumat yang sah seperti kami (pemandu),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Isnin.
Seorang lagi pemandu, Yaya Yusof, 47, berkata sudah berkali-kali memaklumkan perkara ini kepada syarikat Grab namun dakwanya "tidak diendahkan."
“Sudah berulang kali kita memaklumkan kepada pihak Grab untuk tingkatkan tahap keselamatan buat pemandu kerana kami berasakan seperti tidak dilindungi.
“Memang ada antara kami yang mengikuti kursus keselamatan yang diadakan oleh Grab, namun itu tidak memadai. Apa yang boleh kami lakukan adalah sentiasa menasihati antara satu sama lain agar lebih berhati-hati.
Menurut seorang lagi pemandu Grab, Mohamad Faris Zulkifly, 29, pendaftaran lengkap dari penumpang adalah penting agar pemandu dapat mengetahui maklumat penumpang sebelum bersetuju menerima tempahan tersebut.
“Sekiranya mereka tidak mendaftar, kita tidak tahu siapa yang akan kita bawa. Sekiranya mereka menggunakan nama atau gambar lain berbanding yang telah didaftarkan, itu pun kita tidak tahu.
“Sekurang-kurang kalau Grab dapat memastikan langkah itu diambil, kami (pemandu) dapat merasakan jaminan keselamatan daripada pihak Grab,” jelasnya.
Bagi Nor Hamira Mohd Rasid, 33, selain saringan pendaftaran yang lebih ketat, dia berpendapat pemasangan 'dashboard camera' juga penting, terutamanya bagi pemandu wanita sepertinya.
“Alangkah bagus sekiranya Grab dapat menyediakan 'dashboard camera' buat pemandu mereka terutamanya wanita yang bertujuan untuk memantau keselamatan pemandu sekiranya apa-apa terjadi.
“Grab mungkin boleh menghadiahkan kamera tersebut kepada pemandu sekiranya mencapai sesuatu tahap, atau memberikan baucar rebat untuk kami,” katanya.
Pada Sabtu, seorang pemandu Grab ditemukan mati akibat dijerut di dalam kenderaannya berdekatan flat Selayang Baru.
Mangsa yang dikenali sebagai Aiman Nosri, 27 tahun, kali terakhir bertugas membawa penumpang pada Khamis jam 9.34 malam dari Jalan Tun Tan Cheng Lock ke Selayang Baru.
Susulan kejadian, pihak Grab berkata ia sedang bekerjasama dengan polis dalam siasatan kes tersebut.
Astro AWANI akan mendapatkan kenyataan daripada pihak Grab berkaitan isu ini esok.