Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak April lalu, sebagai penyelamat ekonomi negara, ketika Malaysia berhadapan kejatuhan harga minyak.

Beliau menegaskan GST dilaksanakan bukan bertujuan membebankan rakyat.

Sebaliknya, pelaksanaan GST diteruskan untuk membantu rakyat, atas prinsip hasil yang diperoleh, dikembalikan semula untuk projek pembangunan yang memberi manfaat.

"Saya nak maklumkan, mujur kita ada GST, kalau tiada, memanglah tertekan kewangan negara sebab bila hasil merudum harga minyak merudum maknanya apa dividen petronas berkurangan petroleum berkurangan royalti minyak berkurangan daripada mana kita nak tampung ramai banyak belanja," jelas Najib.

Tegas Najib, GST hanya mengundang kemarahan apabila dimanipulasi golongan peniaga yang tidak jujur.

Dalam hal ini, beliau menyarankan pengguna menggunakan kuasa undang-undang untuk menghukum mereka.

Najib juga memberi jaminan hasil GST sebagai menguntungkan rakyat dan ia akan dipaparkan dalam belanjawan akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian berkelompok persidangan perwakilan UMNO bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau di Dewan wawasan 2020, Kangar, Perlis.