Menurut beliau, krisis yang berlaku di negara itu bukan sahaja menuntut campur tangan Malaysia, malah oleh seluruh negara yang menandatangani piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Termasuk juga negara-negara ASEAN dan seluruh negara anggota OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) serta semua pejuang hak asasi manusia kerana kerajaan Myanmar telah melakukan pencabulan terhadap hak asasi manusia," katanya ketika berucap pada perhimpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, hari ini.
BACA: PM Najib dan Malaysia tidak akan berdiam diri soal penindasan ke atas Rohingya
BACA: Etnik Rohingya mahu Malaysia terus membela hak asasi golongan ditindas itu
Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, kepimpinan UMNO dan PAS serta lebih 20,000 hadirin termasuk etnik Rohingya yang berada di Malaysia.
Abdul Hadi berkata PAS ikut serta pada perhimpunan hari ini yang diadakan atas nama Islam dan kemanusiaan.
"Sempadan politik tidak menghalang kita bersatu mempertahankan hak asasi manusia," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika ditemui Bernama senada dengan Presidennya, iaitu saluran diplomatik perlu digunakan bagi menghentikan kekejaman yang berlaku terhadap etnik Rohingya.
"Menggunakan saluran diplomatik adalah cara yang terbaik, kita perlu mengenakan tekanan melalui suara untuk memberitahu kerajaan Myanmar bahawa apa yang mereka buat itu adalah di luar kotak pemikiran manusia yang normal, yang berfikir secara betul," katanya. -- Bernama